Seorang positif Covid-19, 34 penduduk tampil buat saringan

Antara penduduk yang tampil buat saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Temerloh hari ini.
Antara penduduk yang tampil buat saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Temerloh hari ini.
A
A
A

TEMERLOH - Seramai 34 penduduk dari beberapa kampung di daerah ini tampil secara sukarela bagi menjalani saringan koronavirus (Covid-19) di Klinik Kesihatan Temerloh setakat tengah hari tadi.

Mereka membabitkan 31 penduduk Kampung Padang Lalang, Kampung Tanjung Besar (dua) dan Kampung Gau (satu).

Ia berikutan seorang lelaki berusia 40 tahun dari Kampung Padang Lalang di sini disahkan positif Covid-19 semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Lalang, Zainudin Izahrulhaq berkata, pihaknya cuba menghubungi dan mencari mereka yang ada kontak fizikal dengan individu positif Covid-19 terbabit sebaik mungkin untuk menjalani saringan tersebut.

Menurutnya, individu terbabit itu antara peserta tabligh yang terlibat dengan perhimpunan di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

"Individu terbabit telah membuat ujian saringan selepas ada kes membabitkan peserta perhimpunan itu didapati positif.

"Empat hari kemudian individu terbabit dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa didapati negatif, namun semalam pihak hospital memaklumkan lelaki tersebut disahkan positif Covid-19.

"Saya segera mendapatkan mereka yang ada berhubung rapat termasuk ahli keluarga," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Langkah pembersihan dan sanitasi dilakukan di surau Kampung Padang Lalang hari ini.
Langkah pembersihan dan sanitasi dilakukan di surau Kampung Padang Lalang hari ini.

Katanya, individu positif Covid-19 itu dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) semalam untuk tindakan selanjutnya.

"Saya berharap mereka yang berjumpa dan berhubung dengan individu terbabit segera tampil menjalani saringan di Klinik Kesihatan Temerloh.

"Untuk kemudahan mereka yang menjalani saringan ini, pihak kita telah mendapatkan bantuan daripada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semantan untuk menyediakan kemudahan kanopi dengan kerjasama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) memandangkan cuaca panas terik buat masa ini," katanya.

Ujarnya, langkah pembersihan dan sanitasi turut dilakukan di surau kampung berkenaan hari ini.