Tempoh 14 hari paling kritikal buat Malaysia

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM – Badan-badan Masyarakat Madani (CSO) menyeru masyarakat Malaysia berganding bahu menjayakan Perintah Kawalan Pergerakan untuk menyelesaikan permasalahan wabak koronavirus (Covid-19).

Dalam satu kenyataan yang disokong oleh 50 badan bukan kerajaan dan pertubuhan, CSO khuatir sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan yang memakan masa 14 hari ini gagal, ia bukan sahaja menjejaskan sudut kesihatan masyarakat, tetapi juga akan mengancam nyawa lebih ramai rakyat Malaysia.

Menurut CSO lagi, jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan serta penguatkuasaannya diperluaskan lagi, ia akan membawa lebih banyak kesulitan kepada kehidupan harian masyarakat awam dan lebih merisaukan akan menjurus ke arah kemelesetan ekonomi yang lebih parah.

“Kerajaan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa yang ingkar kepada Perintah Kawalan Pergerakan. Dalam masa yang sama pihak kerajaan digesa untuk memperbaiki arahan dan komunikasi yang dikeluarkan supaya tidak saling bercanggah antara satu sama lain.

“Kelemahan yang ketara dari sudut arahan yang dikeluarkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan harus diambil iktibar supaya rakyat akan lebih mudah memahami sebarang perintah yang dikeluarkan. Bagi tujuan tersebut, kami mencadangkan dilantik seorang daripada Menteri Kanan untuk dimandatkan mengetuai Majlis Keselamatan Negara agar setiap arahan dan perintah tidak bertindan dan bercanggah antara kementerian dan agensi kerajaan,” kata kenyataan itu hari ini.

Selain itu, kerajaan harus memastikan Perintah Kawalan Pergerakan benar-benar difahami dan diambil serius oleh rakyat.

“Justeru, tiada pengecualian dalam Perintah Kawalan Pergerakan harus diberikan kecuali untuk mereka yang sememangnya terlibat dalam rantai pembekalan untuk perkhidmatan perlu.

“Pengecualian yang diberikan kepada industri-industri yang tiada isu kehabisan stok seperti industri minyak sawit dan barangan elektrik / elektronik adalah tidak munasabah dan harus ditarik balik,” kata kenyataan itu lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, CSO mahu bantuan secara berkesan dan meluas harus diberikan kepada golongan terpinggir, B40, ibu atau bapa tunggal pekerja berupah harian, mahasiswa, gelandangan, pesakit mental, pelarian dan buruh asing.

“Jaringan keselamatan berupa jaminan harus untuk terus dibekalkan kepada perniagaan khususnya dari kalangan peniaga kecil supaya mereka dapat beroperasi dan membayar gaji dengan lancar serta tidak berhadapan dengan risiko gulung tikar atau membuang pekerja,” kata kenyataan itu.