MMC sedia bantu kurang beban petugas hospital, klinik kerajaan

Hospital MMC menawarkan bantuan ringan beban tugas di hospital dan klinik kerajaan.
Hospital MMC menawarkan bantuan ringan beban tugas di hospital dan klinik kerajaan.
A
A
A

SEREMBAN - Hospital Mawar Medical Center (MMC) bersedia menawarkan bantuan perkhidmatan perubatan kepada hospital dan klinik kerajaan susulan peningkatan koronavirus (Covid-19).

Ketua Pegawai Eksekutif MMC, Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Satiadass@Mohd Aslan Abdullah berkata, inisiatif itu diambil bagi membantu mengurangkan beban kerja petugas kesihatan di sektor awam sekali gus memastikan perkhidmatan perubatan terbaik dapat diberi kepada masyarakat.

"Peningkatan kes positif Covid-19 menyebabkan petugas kesihatan di sektor awam berdepan beban kerja yang meningkat secara mendadak. Jadi, kami ingin tawarkan bantuan jika diperlukan.

"Ia juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami dan satu bentuk kolaborasi antara hospital kerajaan dan swasta dengan tujuan memberikan perkhidmatan perubatan yang boleh diakses kepada pesakit yang memerlukan perkhidmatan pada masa sepatutnya, menerima rawatan berkualiti dan pada kadar yang berkemampuan," katanya pada sidang akhbar di MMC di sini hari ini

Satiadass (tengah) pada sidang akhbar di MMC di sini hari ini.
Satiadass (tengah) pada sidang akhbar di MMC di sini hari ini.

Dr Satiadass@Mohd Aslan berkata, terpulang kepada kerajaan untuk menentukan bentuk bantuan dan kerjasama bagaimana yang diperlukan ketika ini.

Beliau berkata, MMC mempunyai fasiliti dan kapasiti yang mencukupi untuk memberi bantuan perkhidmatan perubatan kepada masyarakat di Negeri Sembilan yang memerlukan.

"Kami ada bilangan katil pesakit dalaman yang mencukupi, fasiliti yang baik di Jabatan Kecemasan dan Trauma, bilangan pakar perubatan, pegawai perubatan dan jururawat yang mencukupi serta perkhidmatan sokongan seperti makmal patologi dan Jabatan Diagnotik Pengimejan.

Artikel Berkaitan:

"Kami bersedia untuk berbincang dengan pihak kerajaan atau Kementerian Kesihatan apa bentuk bantuan yang kami boleh berikan supaya hospital dan klinik kerajaan boleh memfokuskan tumpuan dan tenaga mereka dalam usaha menangani Covid-19," katanya.

Selain itu, beliau berkata, satu pasukan pendidikan Covid-19 telah ditubuhkan MMC bulan lalu dalam usaha memberi pendidikan kepada masyarakat tentang langkah-langkah pencegahan Covid-19.

"Pasukan berkenaan telah pun memberi pendidikan di sekolah di daerah Seremban dan rumah ibadat yang juga merupakan sebahagian tanggungjawab sosial," katanya.

Sementara itu Pengasas Tabung Kasih MMC, Dr Mohd Zaqrul Razman Mohd Podzi berkata, Tabung Kasih dan MMC merancang bekerjasama untuk memberi perkhidmatan perubatan kesihatan kepada masyarakat yang memerlukan.

.