Tentera bantu polis Ahad ini, bukan perintah darurat

Gambar hiasan. - Foto Twitter MIndef
Gambar hiasan. - Foto Twitter MIndef
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Khidmat tentera akan mula digerakkan Ahad ini bagi membantu polis memantau pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan untuk memastikan rakyat berada di rumah masing-masing, dalam usaha membendung penularan kes koronavirus (Covid-19).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan yakin dengan bantuan kawalan daripada pihak tentera, perintah itu akan dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

"Kita harap rakyat akan lebih patuh dengan arahan yang diberikan," katanya yang juga Menteri Pertahanan, pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri-menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut penglibatan tentera dalam usaha kawalan pergerakan itu, Ismail Sabri berkata, perkara itu adalah di bawah Seksyen 5 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang mana Menteri Kesihatan boleh memberi kuasa kepada mana-mana agensi untuk melaksanakan peraturan berkaitan.

Ismail Sabri berkata, berdasarkan laporan polis, terdapat peningkatan peratusan pematuhan rakyat dalam Perintah Kawalan Pergerakan.

"Jadi saya mewakili kerajaan ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakyat yang semakin sedar tentang bahaya penyakit ini dan patuh kepada kerajaan untuk berada di dalam rumah masing-masing," katanya.

Bagaimanapun, terdapat insiden yang mana masih ada yang tidak mempedulikan arahan itu dengan secara bebas bermain di taman permainan, makan di restoran, malah ada yang masih ingkar dengan arahan polis untuk bersurai.

"Polis boleh menggunakan Akta Polis sendiri untuk mengambil tindakan yang lebih keras kepada rakyat yang degil, tetapi seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada peringkat awal ini kita akan menasihat dan tindakan berhemah akan dilakukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Namun Ismail Sabri berkata, pihak polis memaklumkan bahawa apabila tahap rakyat tidak boleh berkompromi dengan cara nasihat maka tindakan undang-undang akan dikenakan.

Pada masa yang sama, polis akan meneruskan sekatan jalan seperti biasa yang mana setakat ini 11,000 kenderaan telah diperiksa.

Ismail Sabri dalam pada itu menegaskan kerajaan tidak berniat atau merancang untuk mengumumkan darurat seperi yang disebarkan pihak yang tidak bertanggungjawab melalui media sosial sejak semalam.

Memohon orang awam untuk tidak mempercayai berita palsu, beliau berkata, tidak ada racun serangga akan disembur menggunakan helikopter untuk membunuh virus Covid-19 seperti yang disebarkan.

"Saya harap rakyat tidak panik dan mudah untuk menerima berita palsu kerana setiap kementerian mempunyai talian hotline masing-masing untuk dihubungi," katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, mana-mana individu yang tidak sihat namun tidak melaporkan kepada pihak berkuasa, ia adalah satu kesalahan.

"Pihak polis boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka, ini termasuk 4,000 individu dari kumpulan tabligh yang menyertai perhimpunan di Sri Petaling yang masih tidak tampil untuk membuat pemeriksaan," katanya.

Beliau berharap mereka yang berkenaan tampil membuat pemeriksaan dan tidak menunggu sehingga pihak polis datang ke rumah mereka.

"Ini adalah demi kebaikan diri sendiri, orang yang tersayang, keluarga dan masyarakat di sekitar," katanya. - Bernama