Covid-19: Jabatan Kesihatan Sabah nafi dua mesej tular

Kebanyakan kedai di Gaya Street di sini menutup operasi kecuali beberapa kedai serbaneka masih dibuka untuk kemudahan orang ramai membeli barang keperluan harian. -Foto Bernama
Kebanyakan kedai di Gaya Street di sini menutup operasi kecuali beberapa kedai serbaneka masih dibuka untuk kemudahan orang ramai membeli barang keperluan harian. -Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Kesihatan Sabah hari ini menafikan kesahihan dua mesej yang tular di media sosial berkaitan koronavirus (Covid-19) di negeri ini iaitu mengenai amaran zon merah melibatkan beberapa daerah dan pasar ikan, serta kes dua pesakit positif Covid-19 melarikan diri dari Hospital Queen Elizabeth (HQE).

“Kedua-dua mesej yang tular ini adalah tidak benar,” kata Pengarahnya, Datuk Dr Christina Rundi dalam kenyataan di sini hari ini.

Sejak semalam, tular di media sosial mengatakan terdapat tempat di Sabah diisytiharkan sebagai zon merah dan meminta orang ramai tidak mengunjungi pasar ikan, kerana kononnya ada individu positif Covid-19 selain turut tular mesej mengenai dua pesakit Covid-19 telah melarikan diri dari HQE.

Dalam pada itu, Christina turut menasihatkan orang awam supaya tidak panik dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan Covid-19 seperti tempat-tempat dicemari wabak tersebut.

Orang awam juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat sahih melalui laman sesawang Kementerian Kesihatan di moh.gov.my, manakala bagi Sabah, orang awam boleh mendapatkan maklumat berkenaan perkhidmatan kesihatan melalui Bilik Gerakan Covid-19 di Fasiliti-Fasiliti Kesihatan Negeri Sabah. - Bernama

Artikel Berkaitan: