Lebih 20,000 sertai solat hajat di kawasan terbuka di Bangladesh

Penganjur mendakwa lebih 25,000 orang menyertai solat hajat di sebuah kawasan terbuka di kota Raipur kelmarin.
Penganjur mendakwa lebih 25,000 orang menyertai solat hajat di sebuah kawasan terbuka di kota Raipur kelmarin.
A
A
A

DHAKA - Tindakan ribuan penduduk Islam menyertai solat hajat di sebuah kawasan terbuka di kota Raipur di selatan Bangladesh semalam mengundang kecaman ramai.

Perhimpunan tersebut dianggap mengingkari arahan pihak berkuasa yang meminta penduduk negara berkenaan mengehadkan pergerakan bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19).

Setakat semalam, Bangladesh merekodkan 17 kes jangkitan dengan membabitkan satu kematian.

Penganjur mendakwa, lebih 25,000 orang menyertai solat hajat tersebut yang diadakan seawal 7 pagi (waktu tempatan).

Perhimpunan tersebut diadakan tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa.
Perhimpunan tersebut diadakan tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa.

Ketua Polis Raipur, Tota Miah berkata, kira-kira 10,000 orang menyertai perhimpunan tersebut.

Tambahnya, penganjur tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk mengadakan acara berkenaan.

“Mereka berhimpun sejurus subuh dan mengadakan solat hajat bagi memohon perlindungan ALLAH daripada penularan Covid-19,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, gambar yang dikongsi di media sosial menimbulkan kemarahan netizen kerana peserta himpunan tidak menghiraukan risiko jangkitan.

“Bagaimana mereka melakukannya tanpa memaklumkan pihak polis? Mereka akan dipertanggungjawabkan jika berlaku sebarang kejadian kepada rakyat di wilayah ini,” tulis Abdur Rahman di Facebook.

Sejak awal minggu ini, pihak berkuasa menutup sekolah dan meminta penduduk tempatan menghindari perhimpunan berskala besar dalam usaha menghentikan penyebaran penyakit.

Namun, di sebalik arahan tersebut masih ramai mengambil peluang berkunjung ke lokasi pelancongan.

Seorang pemimpin kanan dari Liga Awami yang memerintah, Obaidul Quader, berkata langkah pengurungan mungkin diperlukan untuk membendung virus itu.

“Sekiranya perlu, Bangladesh akan ditutup. Rakyat mesti diselamatkan terlebih dahulu. Kami akan melakukan segala-galanya bagi menyelamatkan nyawa,” katanya. - AFP