Malaysia-China tingkat kerjasama

Bai Tian (kanan) menghadiahkan cenderahati berbetuk lukisan kepada Muhyiddin ketika mengadakan kunjungan ke Pejabat Perdan Menteri di Putrajaya semalam.
Bai Tian (kanan) menghadiahkan cenderahati berbetuk lukisan kepada Muhyiddin ketika mengadakan kunjungan ke Pejabat Perdan Menteri di Putrajaya semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia dan China akan terus meningkatkan kerjasama dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan Malaysia telah melakukan pelbagai langkah pencegahan dan berharap segala usaha ini dapat membuahkan hasil dengan segera.

“Saya memuji kesungguhan kerajaan China kerana telah berjaya mengawal wabak Covid-19 ini daripada terus menjadi lebih serius dalam tempoh dua bulan. Kerajaan Malaysia dan China perlu saling bekerjasama dan berganding bahu melakukan kerja pencegahan wabak sebaik yang mungkin,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika menerima kunjungan Duta China di Malaysia, Bai Tian di pejabatnya di Putrajaya.

Pada pertemuan itu, Bai Tian mengirimkan salam Presiden China, Xi Jinping kepada Muhyiddin dan turut menyampaikan surat ucapan tahniah daripada Perdana Menterinya, Li Keqiang kepada Muhyiddin atas perlantikannya sebagai Perdana Menteri.

Li berharap Muhyiddin boleh mengadakan lawatan ke China secepat mungkin dan yakin di bawah pimpinan Muhyiddin, Malaysia akan terus membangun, stabil dan makmur di samping hubungan antara Malaysia dan China akan semakin erat di bawah inisiatif Satu Jalur Satu Jalan.

Bai Tian tidak ketinggalan menerangkan kepada Muhyiddin mengenai cara-cara pencegahan Covid-19 yang dilakukan China dan memaklumkan perkembangan terkini keadaan jangkitan Covid-19 di negaranya.

Muhyiddin menegaskan, buat masa ini cabaran terbesar kerajaan Malaysia ialah bagaimana mencegah Covid-19 daripada terus menular.

Artikel Berkaitan:

“Saya berharap akan mengadakan lawatan ke China sebaik sahaja wabak Covid-19 berakhir. Saya amat menghargai hubungan yang terjalin antara Malaysia dan China dan bersedia meningkatkan kerjasama dengan kedua-dua negara.

“China adalah rakan perdagangan Malaysia yang terbesar. Malaysia sedia mengadakan lebih banyak kerjasama dengan China seperti dalam bidang perdagangan, pelaburan, pembinaan kemudahan asas, teknologi, dan keselamatan yang mampu mendatangkan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” kata Muhyiddin.

Bagi Bai Tian, China dan Malaysia adalah dua rakan karib yang sentiasa bantu-membantu antara satu dengan lain dan terharu dengan bantuan yang diberikan Malaysia ketika China menghadapi keadaan kritikal penularan Covid-19 dua bulan yang lalu.

“Seperti kata pepatah, Bukit sama didaki, lurah sama dituruni. China sedia memberikan apa jua bantuan yang diperlukan Malaysia. Ini termasuklah membawa pakar perubatan dari China ke Malaysia bagi berkongsi pengalaman mengenai rawatan dan pencegahan wabak Covid-19.

“Dengan kemampuan yang ada, kerajaan China akan memberikan barangan penjagaan kesihatan yang diimport dari China serta teknikal dan kemudahan perubatan kepada pihak yang memerlukan,” kata Bai Tian.

Sebagai permulaan, kata Bai Tian, pihak pejabat Kedutaan China Di Malaysia akan menderma 3,500 ubatan ujian genetik, 5,000 topeng muka dan 10,000 topeng perubatan sebagai bukti komitmen China kepada rakyat Malaysia.