X

Kindly register in order to view this article
!

Fleksibiliti sebenarnya boleh ‘membunuh’

A
A

MUNGKIN sebelum ini ramai yang teringin nak bekerja di rumah. Terbitnya angan-angan itu kerana dengan bekerja dari rumah mempunyai lebih banyak masa dengan anak, tidak perlu bangun awal pagi, tidak perlu bayar tol, tidak perlu cari parking dan pelbagai alasan lagi.

Paling utama, tak perlu nak tempuh kesesakan jalan raya. Isteri saya memang cekal menghadapi kesesakan lalu lintas ini. Dari rumah kami di Shah Alam ke tempat kerjanya di Damansara, jaraknya lebih kurang 20 kilometer.

Sepatutnya cuma mengambil masa paling lama 30 minit. Tetapi setiap pagi dia perlu keluar rumah jam 7 pagi untuk sampai ke pejabat jam 9 pagi. Kadang-kadang terlajak.

Dua jam lebih di atas jalan raya. Bukan itu saja, terpaksa pula berdepan dengan pelbagai kerenah pengguna jalan raya yang lain. Potong queue, masuk tak beri signal, cilok ikut suka hati dan sebagainya. Boleh sakit jiwa dibuatnya.

Balik dari pejabat pun begitu juga, malah lebih teruk lagi. Terutama bila berlaku hujan lebat dan sebagainya. Kadang-kala tiga jam baru sampai rumah. Begitulah rutinnya setiap hari.

Bermula kelmarin, dia tak perlu masuk pejabat lagi. Arahan daripada syarikatnya supaya bekerja dari rumah ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Dia boleh menyiapkan kerja rumah dahulu sebelum membuat kerja-kerja pejabat. Selama dua minggu ini, tak perlu lagi nak menempuh kesesakan jalan raya. Jimat duit petrol.

Tetapi sebenarnya bukan mudah untuk bekerja dari rumah. Kena ada disiplin dan tanggungjawab. Bayangkan kalau bergolek atas katil sampai jam 12 tengah hari, bila masa pula nak buat kerja?

Tidak ada sesiapa yang memantau. Bagi saya, fleksibiliti ini sebenarnya boleh ‘membunuh’. Saya sendiri jika diberi pilihan, lebih suka bekerja di pejabat. Kerja di rumah tidak ada feel. Banyak benda boleh mengganggu konsentrasi.

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini, kita dinasihatkan duduk di rumah, buat kerja pun di rumah. Tak perlu pergi mana-mana. Tindakan ini diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang boleh meragut nyawa.

Malam kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusannya yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen, berulang kali meminta dan merayu kepada seluruh rakyat supaya duduk diam-diam di rumah dalam tempoh 14 hari.

“Just stay at home. Luangkan masa bersama anak, isteri dan ahli keluarga. Tidak perlu ke mana-mana. Dengan cara ini saudara-saudari terhindar daripada jangkitan Covid-19 dan penularan wabak ini insya-ALLAH dapat dibendung,” katanya.

Gesaan Muhyiddin itu berikutan ramai rakyat Malaysia dilaporkan berpusu-pusu memenuhi stesen-stesen pengangkutan awam atau bersesak di jalan raya seolah-olah mengambil kesempatan balik kampung menjelang hari penguatkuasaan Perintah Larangan Pergerakan dan tindakan itu boleh meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

Sedangkan, tegas Muhyiddin, tujuan penting pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan adalah untuk memutuskan rangkaian jangkitan atau break the chain of infection supaya jumlah yang dijangkiti wabak Covid-19 itu dapat dikurangkan.

Tempoh 14 hari pelaksanaan perintah larangan itu diambil kerana ia adalah tempoh hayat inkubasi Covid-19 di mana simptom jangkitan hanya muncul selepas tempoh itu.

Jadi kerajaan berharap selepas habis tempoh dua minggu, mereka yang mempunyai simptom akan berjaya diasingkan untuk diberi rawatan, menjadikan Malaysia bebas daripada Covid-19. Tidak ada pilihan lain. Ikut saja arahan itu.

Kalau ada yang masih berdegil untuk mematuhi arahan, kerajaan mungkin tiada pilihan lain selain mengumumkan lockdown. Kita mungkin tidak mahu lockdown dilaksanakan. Perintah Kawalan Pergerakan pun sudah terasa berat, apa lagi jika perintah lockdown dilaksanakan.

Selain itu, teruskanlah berdoa dan bermunajat agar negara kita dan keseluruhan rakyat dilindungi daripada virus Covid-19, disembuhkan segera semua yang telah dijangkiti dan dinyahkan terus wabak ini daripada kita semua. Amiin.

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif (Cetak) Sinar Harian


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus