138 rakyat Malaysia di India selamat tiba di tanah air

Seramai 138 rakyat Malaysia di India pulang ke tanah air semalam, susulan penularan Covid-19.
Seramai 138 rakyat Malaysia di India pulang ke tanah air semalam, susulan penularan Covid-19.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 138 rakyat Malaysia selamat tiba di tanah air manakala 405 warga India telah pulang ke negara mereka semalam hasil usaha sama antara kedua-dua negara susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Timbalan Menteri Luar, Kamarudin Jaffar berkata, kerajaan Malaysia dan India berjaya membantu memudahcara urusan kepulangan rakyat dua negara tersebut.

Katanya, penerbangan dari India ke Malaysia membabitkan penerbangan AirAsia melibatkan 111 penumpang manakala 27 orang lagi menaiki penerbangan komersial lain, kedua-duanya berlepas dari New Delhi.

“Penerbangan dari Malaysia ke India pula melibatkan 405 rakyat India iaitu dua penerbangan AirAsia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Ghandi, New Delhi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Visakhapatnam, Vizag,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Kamarudin yang juga merangkap pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar memaklumkan seramai 1,075 rakyat Malaysia masih lagi terkandas di India setakat jam 3 petang hari ini.

Perincian jumlah itu adalah Chennai (450), Trichy (430), New Delhi (97), Bangalore (63), Mumbai (24) dan Cochin (11).

“Kerajaan Malaysia amat prihatin dan sentiasa memantau secara rapat perkembangan ini melalui perwakilan Malaysia di India untuk memastikan semua yang terkandas dapat pulang ke Malaysia dengan segera.

“Usaha ini sedang rancak dilakukan pada masa ini. Kementerian sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan serta syarikat penerbangan bagi menyelaraskan urusan pulang baki rakyat Malaysia yang masih terkandas di India,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, usaha itu termasuk perancangan untuk menghantar pesawat sewaan khas ke Chennai dan Trichy bagi membawa rakyat Malaysia yang sedia ada memegang tiket penerbangan pulang AirAsia ke Malaysia.

Dalam pada itu beliau berkata, semua rakyat Malaysia terjejas di India boleh menghubungi perwakilan Malaysia yang terdekat untuk mendapatkan bantuan konsular sewajarnya iaitu Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi serta Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai dan di Mumbai. - Bernama