RM3.3 bilion bantu PKS terjejas Covid-19

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM3.3 bilion diperuntukkan di bawah Tabung Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meneruskan operasi perniagaan, pekerjaan selain menggalakkan pelaburan dalam negeri.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan itu disalurkan melalui institusi kewangan peserta yang merangkumi bank-bank perdagangan, bank-bank Islam serta institusi kewangan pembangunan yang dikawal selia oleh bank pusat itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, PKS boleh membuat permohonan secara dalam talian menerusi platform rujukan pembiayaan perniagaan di laman sesawang imsme.com.my.

“Pembiayaan ini termasuklah kemudahan Bantuan Khas dengan peruntukan sebanyak RM2.0 bilion bagi membantu meringankan beban aliran tunai jangka pendek PKS yang terjejas akibat penularan koronavirus (Covid-19).

“PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM1 juta dengan tempoh pembiayaan sehingga 5.5 tahun, termasuk enam bulan tempoh penangguhan bayaran balik dan kadar pembiayaan ditetapkan tidak melebihi 3.75 peratus setahun,” kata beliau.

Jelas Tengku Zafrul, bagi Kemudahan Agromakanan, peruntukan sebanyak RM1 bilion turut disediakan untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara dan eksport.

PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM5 juta dengan tempoh pembiayaan sehingga lapan tahun pada kadar pembiayaan ditetapkan tidak melebihi 3.75 peratus setahun, katanya.

Bagi Kemudahan Automasi dan Digital pula, sejumlah RM300 juta diperuntukkan bagi menggalakkan kalangan PKS melakukan proses secara automasi serta pendigitalan operasi masing-masing untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, PKS yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM3.0 juta dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun dengan kadar pembiayaan 4.0 peratus setahun.

Selain itu, Bank Simpanan Nasional memperuntukkan sejumlah RM200 juta dalam bentuk kemudahan mikro kredit pada kadar 4.0 peratus, kata beliau.

Menurutnya, semua institusi kewangan di bawah kawal selia oleh BNM turut menyediakan pembiayaan khas sehingga RM1 juta tanpa cagaran menerusi bantuan khas kepada PKS terjejas akibat Covid-19 selain kemudahan penyusunan dan penjadualan semula bagi perniagaan, PKS dan individu termasuk penangguhan bayaran balik. - Bernama