Lelaki ditahan halang tugas penjawat awam

Seorang lelaki ditahan kerana menghalang polis melaksanakan tugas Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.
Seorang lelaki ditahan kerana menghalang polis melaksanakan tugas Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki ditahan dekat sebuah rumah ibadat di sini kerana menghalang tugas penjawat awam yang melakukan tugas rondaan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisoner Adzli Abu Shah berkata, polis pada mulanya memberikan arahan bersurai terhadap sekumpulan lelaki yang didapati berkumpul di lokasi terbabit.

Menurutnya, kumpulan individu hampir 10 orang itu kemudian akur dengan arahan tersebut dan bersurai kecuali suspek yang dilihat berang sebelum menghamburkan kata-kata kesat terhadap anggota bertugas.

“Dia tak nak beri kerjasama bila diminta bersurai, yang lain dah bersurai. Minta kad pengenalan pun tak bagi sebaliknya dia lemparkan kata-kata kesat, kita terpaksa lakukan tangkapan,” katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati suspek tiada rekod kesalahan jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing didapati negatif.

Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Katanya, pihaknya akan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Menurut Adzli, ia memberi mesej jelas kepada orang awam di mana dalam konteks memberi nasihat dan kesedaran awam sekiranya mana-mana pihak didapati ingkar, tindakan tegas boleh dikenakan.

Artikel Berkaitan: