Jangan ada istilah 'sekolah menumpang' di Sabah

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (tengah) beramah mesra dengan sebahagian murid-murid selepas menyampaikan bantuan persekolahan pada majlis Kembali Ke Sekolah di Dewan Masyarakat Semporna hari ini. - Foto Bernama
A
A

SEMPORNA - Kerajaan Sabah tidak mahu istilah ‘sekolah menumpang’ terus wujud di negeri ini dan perkara itu perlu diselesaikan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata Malaysia sudah mencapai kemerdekaan sejak lebih 50 tahun lepas, namun isu sekolah tumpang masih wujud di negara ini termasuk di Sabah.

"Kenapa ada lagi sekolah rendah tumpang sekolah menengah, dan sekolah menengah tumpang sekolah rendah...tiada peruntukan untuk buat sekolah? Malah, ada musim, sekolah terlibat juga digunakan untuk penempatan mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perjumpaan Ketua Menteri Sabah bersama anggota perkhidmatan awam dan pemegang adat daerah Semporna di sini, hari ini.

Mohd Shafie dalam pada itu, mahu Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah serta Kementerian Pendidikan di peringkat pusat agar mencari jalan agar tiada lagi isu sekolah menumpang di Sabah.

"Saya harap bukan hanya isu sekolah daif yang tidak cukup kelengkapan diselesaikan (tetapi juga isu sekolah menumpang)," katanya.

Sebelum itu, Mohd Shafie bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong menghadiri program ‘Back To School’ di Dewan Masyarakat Semporna.

Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah menyediakan biasiswa pendidikan berjumlah RM52 juta kepada pelajar berasal dari Sabah termasuk yang menerima tawaran memasuki universiti pada tahun ini.

Berkongsi perkara itu, beliau berkata biasiswa tersebut pada mulanya sebanyak RM18 juta sebelum ditingkatkan sehingga RM52 juta termasuk RM10 juta daripada Yayasan Sabah.

"Ini untuk anak-anak Sabah dan bagi yang cemerlang untuk masuk universiti boleh memohon biasiswa ini.

"Bantuan itu sebagai bukti kerajaan serius mahu anak-anak Sabah meningkatkan ilmu pendidikan kerana pendidikan adalah jambatan kepada kejayaan diri, sekali gus kesannya kepada keluarga dan masyarakat," katanya.

Pada program ‘Back to School’ itu, 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di Semporna menerima bantuan kelengkapan sekolah berupa beg dan baju sekolah serta kamus dwibahasa, selain wang tunai.

Dalam pada itu, Mohd Shafie meminta dua kementerian pelajaran di negeri dan pusat mewujudkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi meningkatkan pencapaian anak-anak Sabah dalam mata pelajaran Matematik dan Sains.

"Jangan hanya tumpu kepada 9A, 8A dan 7A, sedangkan pencapaian mata pelajaran Matematik dan Sains keseluruhan pelajar tiada kejayaan," katanya sambil mahu golongan pendidik membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di peringkat sekolah.

Beliau menegaskan betapa pentingnya anak-anak Sabah menguasai bahasa lain untuk kejayaan dan kelangsungan hidup mereka.

Sementara itu, Mohd Shafie meminta masyarakat termasuk ibu bapa terlibat secara langsung dengan agenda pendidikan, termasuk memberi keutamaan terhadap pendidikan setempat. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia