X

Kindly register in order to view this article
!

MARA beri jaminan semua kebajikan semua pelajar dijaga

MARA
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memastikan kebajikan semua pelajar dengan menyediakan makanan yang mencukupi kepada mereka.

Menurut satu kenyataan, pelajar tidak dibenarkan untuk berkumpul makan di dewan makan atau kafeteria dan hanya dibenarkan mengambil makanan serta dibawa ke bilik masing-masing bagi mengelakkan sebarang kemungkinan jangkitan.

"Bagi memastikan keselamatan dan kebajikan para pelajar yang menginap di asrama dan kolej kediaman sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, pemantauan harian ke atas kesihatan pelajar dan bilangan pelajar adalah menjadi keutamaan," katanya di sini hari ini.

MARA memaklumkan setakat 19 Mac 2020, seramai 1,312 termasuk 99 orang pelajar antarabangsa di Institusi Pendidikan MARA (IPMA) masih berada di kolej kediaman atau asrama pelajar.

Kesemua pelajar telah disarankan untuk pulang ke kediaman masing-masing selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan.

Bagaimanapun, terdapat beberapa kekangan menghadkan perjalanan pulang mereka iaitu kekangan kewangan dan jarak tempat tinggal yang jauh seperti Sabah dan Sarawak.

Kenyataan itu berkata, pergerakan keluar masuk pelajar dipantau secara ketat dari semasa ke semasa untuk memastikan mereka mematuhi arahan menghadkan pergerakan dan tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti perhimpunan bersifat “mass gathering”.

"Pelajar juga akan dipastikan mengamalkan “social distancing” bagi mengurangkan kebarangkalian jangkitan koronavirus (Covid-19) berlaku dengan mengadakan kawalan ketat keluar masuk asrama hanya dengan kebenaran.

"Mereka juga sentiasa diawasi agar tidak mendedahkan diri ke tempat-tempat yang berisiko supaya kekal selamat," katanya.

Ibu bapa dan penjaga disarankan agar jangan panik memandangkan pihak MARA sentiasa memandang serius dan prihatin kebajikan pelajar terbabit.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus