MARA tangguh pinjaman pelajaran selama tiga bulan

MARA
MARA
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Luar Bandar memutuskan supaya Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi penangguhan bayaran balik pinjaman pelajaran selama tiga bulan kepada peminjam.

Bagi usahawan yang menerima pembiayaan perniagaan MARA pula diberikan penangguhan bayaran balik selama enam bulan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, diskaun khas penyewaan premis perniagaan MARA sebanyak 30 peratus turut diberikan kepada semua usahawan yang beroperasi di semua premis MARA.

"Insentif yang diberikan ini tertakluk kepada syarat yang telah ditetapkan serta terbukti telah menerima kesan secara langsung akibat wabak koronavirus (Covid-19).

"Bagi penerima pinjaman pelajaran MARA, penangguhan bayaran balik selama tiga bulan ini hanya diberikan kepada peminjam yang tidak mempunyai tunggakan bayaran balik selama tiga bulan.

"Tawaran ini turut meliputi peminjam yang mendapat kemudahan Pendahuluan Pinjaman Pelajaran," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abd Latiff berkata, pihak kementerian dan MARA juga menyedari komuniti usahawan dan perniagaan adalah yang paling terkesan akibat daripada penularan wabak tersebut.

Justeru, usahawan yang mendapat kemudahan pembiayaan perniagaan MARA pula ditawarkan penangguhan bayaran balik selama enam bulan dengan syarat tidak mempunyai tunggakan bayaran lebih daripada dua bulan.

Artikel Berkaitan:

"Penyewa premis perniagaan MARA juga layak mendapat diskaun bayaran sewaan sebanyak 30 peratus dengan syarat tidak mempunyai tunggakan bayaran lebih daripada dua bulan dan perniagaan yang dijalankan adalah terlibat secara langsung dengan penutupan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan," katanya.

Tambah beliau, para peminjam dan usahawan MARA yang layak dan menepati syarat ditetapkan perlu mengemukakan permohonan untuk penjadualan semula bayaran di pejabat MARA berhampiran bermula 1 April 2020.

Kementerian dan MARA mengambil inisiatif memperkenalkan kemudahan itu setelah mengambil kira impak kepada pelbagai sektor sama ada dalam dan luar negara sehingga mengakibatkan kehilangan dan kekurangan sumber pendapatan, terjejas pelbagai sektor perniagaan serta kesan daripada arahan penutupan premis perniagaan sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

"Langkah ini juga adalah sebahagian daripada usaha melaksanakan tanggungjawab sosial bagi meringankan bebanan rakyat akibat daripada pandemik yang melanda dunia ini," ujar beliau.

Sebarang maklumat lanjut, sila layari www.mara.gov.my atau hubungi MARA Call Center 03-2613 2000.