Sabah kecualikan penjawat awam daripada sekatan Imigresen

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah mengecualikan penjawat awam negeri dan Persekutuan dalam perkhidmatan penting negara daripada Perintah Sekatan Imigresen sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan hingga 31 Mac ini,.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, penjawat awam negeri dan Persekutuan berkenaan dibenarkan untuk masuk atau pulang ke Sabah sepanjang tempoh penguatkuasaan tersebut berdasarkan beberapa syarat yang telah ditetapkan.

“Penjawat awam negeri dan Persekutuan yang masuk ke negeri Sabah untuk menjalankan tugas tertakluk kepada surat pengesahan ketua jabatan yang dikeluarkan khusus setiap kali keperluan tugas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Safar berkata, pengecualian Perintah Sekatan Imigresen itu juga terpakai kepada pekerja swasta yang masuk ke Sabah untuk menjalankan tugas penting tertakluk kepada surat pengesahan majikan dikeluarkan khusus setiap kali keperluan bertugas.

Beliau berkata, penduduk bukan rakyat Sabah termasuk suami atau isteri dan anak mereka dengan pemegang Pas Penduduk Tetap Sabah; penduduk Sabah di bawah Pas Kerja; Pas Pelajar; Pas Lawatan Sosial jangka panjang atau apa-apa perintah pengecualian juga dibenarkan masuk ke negeri ini tertakluk kepada kuarantin kendiri selama 14 hari serta notis duduk di rumah.

Selasa lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan Perintah Sekatan Imigresen untuk menghalang penduduk bukan berasal dari Sabah ke negeri ini sepanjang arahan Perintah Kawalan Pergerakan hingga 31 Mac.

Semua pergerakan masuk penduduk bukan berasal dari Sabah melalui pintu masuk udara, laut dan darat tidak dibenarkan kecuali mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri dan mempunyai pengesahan kesihatan yang membuktikan individu berkenaan bebas Covid-19. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Sabah keluarkan perintah sekatan Imigresen

Artikel Berkaitan: