Covid-19: Johor perlu dapat kebenaran MKN jika mahu buka pintu masuk

Dr Adham Baba - Foto Bernama
Dr Adham Baba - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan Johor perlu mendapatkan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negeri (MKN) sekiranya ingin membuat keputusan untuk membuka pintu masuk Johor-Singapura.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ini kerana tiada pergerakan keluar masuk antara negara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan sekarang sehingga 31 Mac ini.

"Kita telah buat keputusan dalam perintah ini bahawa tiada pergerakan keluar masuk dari negara ke negara.

"Sekiranya kerajaan Johor ingin dikecualikan daripada perintah itu, ia perlu dibawa ke MKN," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di sini hari ini.

Semalam, akhbar Singapura melaporkan Johor berhasrat untuk membuka semula sempadan dengan Singapura.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dijangka mengumumkan pelan pengurangan kesan semasa wabak koronavirus (Covid-19).

Antara kategori yang dikecualikan ialah pemegang pas kerja oleh Malaysia atau Singapura, pelajar yang menuntut di Singapura, mereka yang mempunyai kemahiran khusus, ahli perniagaan, mereka yang terlibat dalam logistik dan lain-lain yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Berdasarkan statistik, Johor mencatatkan negeri keempat tertinggi kes positif Covid-19 dengan 110 kes setakat hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai sebahagian rakyat Malaysia yang terpaksa tinggal di Singapura berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, beliau berkata, kesemua akan disaring dan dikuarantin.

"Sama sahaja (prosedur). Mereka akan disaring dan dikuarantin sebaik sahaja perintah Perintah Kawalan Pergerakan tamat," katanya.

Ketika ditanya mengenai 83 peserta himpunan tabligh dunia yang berlangsung di Sulawesi, Indonesia, Dr Adham berkata, mereka juga akan dikuarantin di pusat pusat kuarantin yang digazetkan.

"Saringan akan dilakukan di pintu masuk," katanya.