Perak umum inisiatif bantu rakyat terjejas

Ahmad Faizal (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Negeri Perak Selasa lalu.
Ahmad Faizal (kiri) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Negeri Perak Selasa lalu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak antara negeri terawal mengumumkan beberapa inisiatif dalam usaha menangani kesan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19) di negeri itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, selaras dengan perintah kawalan bermula 18 hingga 31 Mac ini, kerajaan negeri akan menanggung bayaran selama tiga bulan bermula Mac ini bagi empat jenis bayaran balik dan sewa.

Beliau berkata, tanggungan itu melibatkan bayaran balik Tabung Usahawan dan Mikrokredit Yayasan Perak, bayaran balik Rumah Harapan, Pinjaman Pendidikan Negeri Perak dan bayaran sewa beli Rancangan Perumahan Awam.

"Selain daripada itu, kerajaan negeri juga memutuskan untuk menangguhkan sewa skim pertapakan kemudahan asas dan bayaran sewa bulanan Program Perumahan Rakyat Negeri Perak selama tiga bulan serta menyediakan bantuan one-off sebanyak RM500 kepada penjaja dan peniaga kecil melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kita juga akan terus mengkaji sebarang bentuk inisiatif tambahan dari semasa ke semasa bersesuaian dengan kemampuan kewangan kerajaan negeri," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal menerusi satu kenyataan berasingan turut mengumumkan sumbangan makanan kepada 1,500 kakitangan barisan hadapan termasuk doktor, jururawat, petugas kesihatan Jabatan Kesihatan Perak dan sebagainya yang terlibat dalam menangani wabak Covid-19 melibatkan pemberian makanan percuma.

Katanya, sumbangan makanan yang akan bermula kelmarin itu membabitkan makan tengah hari dan makan malam selama dua minggu dengan kos keseluruhan RM420,000.

"Sumbangan ini sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri dan rakyat Perak kepada petugas barisan depan yang bekerja keras dan berdepan risiko jangkitan dalam menangani wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, peruntukan khas sebanyak RM160,000 turut diberikan untuk membeli peralatan tambahan yang diperlukan oleh kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri," katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, bagi bantuan sekali bayar untuk penjaja dan peniaga kecil, seramai 4,000 orang akan menerima manfaat melibatkan kos hampir RM2 juta.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan menanggung separuh daripada kos sewaan gerai makanan dan medan selera di bawah semua PBT di Perak, selama dua bulan iaitu pada Mac dan April dengan kos melebih RM770,000.