Jakim saran baca Yasin, solat hajat di rumah malam ini

Jakim mengajak umat Islam mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat di rumah masing-masing malam ini bagi mendoakan kesejahteraan dunia daripada wabak Covid-19.
Jakim mengajak umat Islam mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat di rumah masing-masing malam ini bagi mendoakan kesejahteraan dunia daripada wabak Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyarankan umat Islam di seluruh negara supaya mengadakan bacaan Yasin, solat hajat dan doa di rumah masing-masing malam ini.

Menerusi akaun Instagram rasminya, Jakim memaklumkan surah Al-Kahfi juga digalakkan untuk dibaca dan munajat itu diadakan agar dunia diselamatkan daripada wabak koronavirus (Covid-19).

"Anda juga bebas memilih untuk baca apa jua surah, yang penting bersama-sama kita munajat pada ALLAH SWT dengan penuh ketundukan agar keresahan didamaikan, kekalutan ditenangkan, kesukaran dimudahkan dan keperitan diringankan.

"Doakan juga petugas barisan hadapan yang sedang berjihad di medan mereka," kata kenyataan itu hari ini ketika seluruh rakyat diarahkan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari sehingga 31 Mac di seluruh negara bagi membendung penularan Covid-19.

Perintah Kawalan Pergerakan berkenaan dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Perintah itu meliputi enam perkara termasuk penutupan sekolah, premis swasta, institusi pengajian tinggi (IPT).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun perkhidmatan penting serta pasar awam, pasar raya, kedai runcit dan kedai serbaneka tetap dibuka kepada orang ramai.