Perintah Kawalan Pergerakan: Kilang didakwa paksa pekerja bekerja

Sebahagian pekerja kilang kaca di Jasin yang membuat laporan polis di balai Polis Jasin, semalam.
Sebahagian pekerja kilang kaca di Jasin yang membuat laporan polis di balai Polis Jasin, semalam.
A
A
A

JASIN - Sekumpulan pekerja di sebuah kilang kaca di daerah ini membuat laporan polis dengan mendakwa pihak kilang berkenaan enggan mematuhi arahan daripada kerajaan yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula semalam susulan penularan koronavirus (Covid-19) dengan memaksa mereka datang bekerja seperti biasa.

Wakil kumpulan pekerja kilang itu yang hanya dikenali sebagai Mat, 23, berkata, mereka membuat laporan polis terhadap pengurusan kilang tersebut di Balai Polis Jasin, di sini dengan mendakwa dipaksa datang bekerja serta diugut dengan pemotongan gaji sekiranya tidak datang bekerja.

Menurutnya, tindakan itu seolah-olah pihak pengurusan kilang tidak sensitif dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengekang penularan Covid-19.

"Kita tidak mahu menanggung risiko jangitan Covid-19 dan mahu mematuhi arahan kerajaan supaya tidak keluar bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan itu dikuatkuasakan.

"Laporan polis ini dibuat supaya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengurusan kilang yang membuat ugutan terhadap kami," katanya yang membuat laporan polis bersama 31 lagi pekerja kilang berkenaan.

Muhyiddin dalam perutusan khas menjelaskan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Penutupan itu membabitkan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara (essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Sementara itu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jasin mahu pihak berkuasa menyiasat dakwaan pekerja berkenaan yang mendakwa dipaksa untuk bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan itu dikuatkuasakan.

Artikel Berkaitan:

Ketuanya, Dr Akmal Saleh, berkata, ini kerana kilang terbabit boleh dikatakan melanggar undang-undang ditetapkan oleh kerajaan sekiranya benar mengeluarkan arahan sebegitu.

"Harap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada pihak pengurusan kilang terbabit kerana tindakan yang tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja merbahaya kepada mereka tetapi kepada semua masyarakat setempat," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan ketika dihubungi Sinar Harian, mengesahkan menerima laporan polis tersebut dan kes telah dipanjangkan kepada Pejabat Buruh.