Perketat kawalan di LTSAAS, Pengkalan Feri Pelabuhan Klang: MB

AMIRUDIN
AMIRUDIN
A
A
A

SHAH ALAM - Kawalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) dan Pengkalan Feri Pelabuhan Klang diperketatkan lagi bagi mengawal pergerakan keluar masuk warga asing ke negara ini.

Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, menerusi mesyuarat, pihaknya bersetuju membantu Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk menyediakan kemudahan khemah tambahan bagi saringan virus koronavirus (Covid-19).

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, selain itu, para pelawat juga diminta mengurangkan lawatan ke hospital semasa Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan turut mengambil tindakan lebih tegas kepada orang awam yang masih mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula sejak semalam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan, antara tiga perkara penting yang dibincangkan dalam mesyuarat termasuklah keadaan terkini wabak Covid-19, bekalan barang makanan dan bahan mentah semasa Perintah Kawalan Pergerakan serta taklimat keselamatan dan hal ehwal keluar masuk negara.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula semalam hingga 31 Mac di seluruh negara.

Perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan negeri kini sedang dalam peringkat akhir bagi memuktamadkan Pakej Rangsangan yang mengambil kira kebajikan semua pihak terkesan dengan penularan wabak ini.

Artikel Berkaitan:

"Majlis MKN juga akan bermesyuarat dengan lebih kerap mulai hari ini.

"Daripada pihak kerajaan negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana membenarkan menteri besar mempengerusikan mesyuarat ini," katanya.

Tambahnya, beliau percaya sikap profesionalisme yang ditunjukkan akan memastikan koordinasi dan pengurusan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan dengan lebih berkesan.