Bekalan makanan, barangan keperluan mencukupi

Rakyat tidak perlu panik dengan membeli barangan secara pukal kerana premis-premis yang menjual barangan keperluan masih dibuka. - Foto Bernama
Rakyat tidak perlu panik dengan membeli barangan secara pukal kerana premis-premis yang menjual barangan keperluan masih dibuka. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Barangan makanan dan keperluan harian masih mencukupi dan rakyat tidak perlu panik semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat tidak perlu panik dengan membeli barangan secara pukal kerana premis-premis yang menjual barangan keperluan masih dibuka.

"Saya dimaklumkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bahawa keperluan makanan mencukupi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, pihak MOA telah berjumpa dengan pengeluar makanan termasuk beras, sayur-sayuran bahawa keperluan makanan adalah mencukupi dan rakyat tidak perlu panik.

"KPDNHEP juga telah memeriksa premis yang menjual produk makanan dan keperluan lain bahawa semua adalah mencukupi dan tidak perlu panik untuk berebut membeli makanan dan sebagainya," katanya.

Perintah itu dikuatkuasakan kerajaan selama 14 hari mulai semalam bagi membendung wabak Covid-19.

Ismail Sabri juga menggalakkan rakyat untuk menggunakan sistem dalam talian bagi setiap urusan ke arah mengurangkan mobiliti.

"Saya tahu ada rungutan mengatakan bahawa kad tambah nilai sudah habis, tidak boleh pergi ke bandar untuk membeli-belah.

Artikel Berkaitan:

"Kita sarankan mereka menggunakan perkhidmatan dalam talian, kerana kita cuba sedaya-upaya untuk mengelakkan diri daripada mempunyai hubungan rapat atau kontak sosial dengan pihak lain," katanya.

Menteri itu turut disoal mengenai cadangan sesetengah pihak kepada kerajaan untuk membolehkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikeluarkan bagi meringankan beban mereka yang terjejas punca pencarian dalam tempoh perintah itu.

"Itu kita bincang dalam mesyuarat Kabinet semalam dan pihak Kementerian Kewangan sedang meneliti perkara ini," katanya. - BERNAMA