Jawatankuasa khas selaras Perintah Kawalan Pergerakan

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kabinet telah menubuhkan jawatankuasa khas menteri-menteri bagi menyelaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha kerajaan menangani wabak Covid-19.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jawatankuasa itu melibatkan 19 menteri, Ketua Setiausaha Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Peguam Negara dan Ketua-ketua Setiausaha kementerian.

Menurutnya, penubuhan jawatankuasa itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet semalam.

"Kita (jawatankuasa khas) telah mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali iaitu semalam dan hari ini. Mesyuarat akan berterusan sehingga 31 Mac iaitu hari terakhir Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di sini hari ini.

Tambahnya, sidang akhbar akan diadakan pada 12 tengah hari setiap hari bagi mengumumkan maklumat terkini kepada rakyat.

Ismail Sabri berkata, kerajaan membuat pemantauan pada setiap masa dan semua menteri terlibat tidak alpa, sebaliknya mereka akan melaporkan setiap tindakan kementerian masing-masing kepada jawatankuasa itu setiap hari.

"Jadi, jika ada tuduhan bahawa menteri langsung tidak mengambil tahu perkara ini, ia merupakan satu fitnah kerana kita lihat setiap menteri akan beri laporan setiap hari mengenai tindakan kementerian masing-masing dalam isu Covid-19 ini," katanya.

Menyedari banyak kekeliruan yang timbul mengenai Perintah Kawalan Pergerakan, Ismail Sabri berkata, semua kementerian akan mewujudkan talian khidmat pelanggan masing-masing selain talian di MKN yang sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"(Ini) supaya apa sahaja isu yang berkaitan dengan kementerian boleh ditujukan kepada kementerian berkaitan supaya jawapannya lebih jelas kerana kementerian tersebut lebih tahu tentang (perkara berkaitan) kementerian masing-masing," katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan membuat hebahan mengenai nombor-nombor hotline bagi setiap kementerian.

Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu berkuat kuasa mulai semalam hingga 31 Mac bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.