Solat Jumaat di Thailand diganti solat Zuhur

Pegawai keselamatan memeriksa suhu badan orang ramai sebelum masuk ke sebuah bangunan di di Bangkok, Thailand. - Foto AFP
Pegawai keselamatan memeriksa suhu badan orang ramai sebelum masuk ke sebuah bangunan di di Bangkok, Thailand. - Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Solat Jumaat di Thailand akan dibatalkan dan diganti dengan solat Zuhur di rumah setelah mengambil kira situasi semasa koronavirus (Covid-19).

Menurut kenyataan Pejabat Sheikhul Islam Thailand, langkah ini selari dengan keputusan kerajaan untuk mengelak sebarang perhimpunan berskala besar dan menyekat penularan wabak itu.

“Semua aktiviti dan perhimpunan yang membabitkan kehadiran ramai seperti ceramah dan mengaji harus ditangguhkan buat masa ini. Langkah ini akan dikuat kuasa sehingga keadaan pulih,” katanya.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa majlis dan kenduri kahwin harus ditangguhkan atau membenarkan 10 orang sahaja hadir.

Thailand mengesahkan 35 kes baharu jangkitan Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara itu setakat ini ialah 212.

Selain itu, pihak berkuasa Thailand mula membuat persiapan rapi selepas menjangkakan beribu-ribu rakyat negara tersebut yang bekerja di Malaysia akan pulang susulan langkah Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa mulai hari ini sehingga 31 Mac bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Jurucakap Divisyen ke-4 Tentera Kolonel Pramote Prom-in berkata dianggarkan sejumlah 100,000 rakyat Thailand yang berada di Malaysia akan pulang secara berperingkat sepanjang tempoh perintah kawalan itu.

“Pintu masuk masih dibuka untuk membolehkan rakyat Thailand dan Malaysia pulang ke tanah air masing-masing,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: