X

Kindly register in order to view this article
!

Dokumentasikan sejarah tentera

A
A

MUZIUM Tentera Darat (Muzium TD) yang terletak di Port Dickson, Negeri Sembilan merupakan satu-satunya muzium tentera yang lengkap dan terbesar di negara kita.

Dua bangunan asal Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) atau dikenali sebagai Depoh Askar Melayu pada awal penubuhannya pada tahun 1933 telah dijadikan sebagai bangunan muzium. Di situlah lokasi tertubuhnya Kompeni Percubaan Askar Melayu yang kemudian menjadi asas kepada penubuhan TD hari ini.

Rekrut Askar Melayu yang menjalani latihan ketika itu ditempatkan di berek berlainan dikenali sebagai Arras, Vimy, Somme, Mons dan La Cateau. Ini adalah nama-nama kawasan pertempuran hebat tentera British semasa Perang Dunia Pertama di Perancis.

Sememangnya telah menjadi tradisi kepimpinan tentera British sehingga ke hari ini untuk mengabadikan nama-nama kawasan pertempuran yang pernah mereka hadapi pada setiap zaman untuk mengenang sejarah kemenangan lalu.

Kewujudan Muzium TD diilhamkan oleh Jeneral Tan Sri Md Hashim Hussein semasa beliau menjadi Panglima Tentera Darat pada tahun 1999 sebagai usaha menempatkan sejarah dan warisan ketenteraan TD di sebuah lokasi khusus.

Md Hashim jugalah yang bertanggungjawab mengilhamkan pembikinan filem patriotik, Leftenan Adnan arahan Aziz M. Osman menerusi kerjasama dengan Markas TD pada tahun 2000. Filem ini telah menerima Anugerah Khas Juri pada Festival Filem Asia Pasifik ke-45 di Hanoi, Vietnam.

Port Dickson yang juga dikenali sebagai Bandar Tentera Darat amat signifikan bagi warga pasukan ini dengan tertubuhnya beberapa institusi dan pusat latihan TD dan ATM.

Selain Port Dickson, Kem Terendak di Melaka juga ada sejarahnya kerana di situlah lokasi penempatan bersama tentera Australia, Britain dan New Zealand di Malaysia. Kem yang menempatkan Briged Infantri Komanwel ke-28 itu mula dibina pada tahun 1957.

Ia dibiayai kerajaan ketiga-tiga negara dan siap tujuh tahun kemudian di kawasan seluas 1,500 ekar. Kawasan latihannya sahaja seluas 3,500 ekar.

Kem Terendak mula diduduki briged ini secara berperingkat-peringkat bermula tahun 1959 hingga pertengahan 1960-an.

Dua lagi bandar yang sinonim dengan sejarah ketenteraan negara ialah Lumut di Perak yang menempatkan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Butterworth, Pulau Pinang bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

TLDM berpindah ke Lumut pada tahun 1979 bagi menggantikan Pangkalan Woodlands di Singapura yang beroperasi sebelum era kemerdekaan. Pangkalan TLDM Lumut yang siap dibina pada tahun 1983 merupakan pangkalan tentera laut paling moden di rantau ini ketika itu.

Penempatan

Pemilihan lokasi itu juga telah mengubah landskap Lumut yang dahulunya sebuah perkampungan nelayan tradisional apabila kini menjadi antara lokasi tarikan pelancongan ke negeri Perak selain terkenal dengan hasil lautnya.

Pangkalan Udara Butterworth pula dibuka pada tahun 1941 oleh tentera British dan digunakan semasa Perang Dunia Kedua. Ia kemudian menjadi pangkalan hadapan tentera Jepun. Semasa era Insurgensi, ia menjadi pangkalan utama ATM untuk operasi-operasi memerangi pengganas komunis.

Pada tahun 1975, Skuadron ke-12 TUDM di pangkalan ini mengoperasikan 16 buah pesawat pejuang supersonik Northrop F-5E buatan Amerika Syarikat (AS). Pemilikan pesawat ini juga telah melonjakkan TUDM sebagai antara kuasa udara terunggul di rantau ini kerana memiliki pesawat pejuang sedemikian.

AS bersetuju menjual pesawat berkenaan kepada Malaysia ketika itu berikutan Perang Vietnam lantas perlu untuk memperkasakan ketenteraan negara sahabat di sebelah sini.

Sebenarnya, amat penting perkara-perkara ini didokumentasikan oleh pihak tentera sebagai catatan sejarah. Ia akan mempunyai nilai yang tinggi sebagai sumber rujukan bukan sahaja kepada warga tentera tetapi juga masyarakat khususnya golongan penyelidik.

Seperti Muzium TD, perlu bagi TLDM dan TUDM mempunyai sebuah muzium lengkap dan tersusun bagi menyimpan khazanah serta bahan-bahan sejarahnya. Ia juga harus dikendalikan oleh kurator terlatih.

Mengoperasikan sebuah muzium memerlukan kos yang bukan sedikit. Muzium juga bukan sekadar mempamerkan bahan sejarah. Sebaliknya, pulangan yang dikembalikan kepada masyarakat amat besar khususnya untuk meniup semangat patriotik dan rasa berterima kasih kepada pejuang-pejuang negara.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus