Kempen Melawat Malaysia 2020 dibatalkan serta-merta

Nancy Shukri
Nancy Shukri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kempen Melawat Malaysia 2020 (VM2020) dibatalkan serta-merta bagi mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19), kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Keputusan itu, kata Nancy adalah berikutan impak penularan wabak Covid-19 yang memberi kesan serta menjejaskan sektor pelancongan di Malaysia dan dunia secara amnya.

Beliau berkata, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan wabak Covid-19, kementerian turut membekukan semua urusan kaunter dan perkhidmatan dalam talian bagi permohonan baharu, pembaharuan lesen pengendalian pelancongan, pemandu pelancong, Institut Latihan Pelancongan dan pendaftaran penarafan premis penginapan pelancongan, spa dan pusat urutan kaki.

“Pembekuan semua perkhidmatan kaunter dan dalam talian di Bahagian Pelesenan Pelancongan serta Pejabat MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) Negeri berhubung pelesenan pelancongan seperti pelesenan syarikat pengendali pelancongan, pemandu pelancong, Institut Latihan Pelancongan dan pendaftaran penarafan premis penginapan pelancongan, spa dan pusat urutan kaki adalah berkuat kuasa serta-merta sehingga 31 Mac 2020,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Nancy berkata, selaras dengan pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan, semua premis penginapan pelancong masih dibenarkan beroperasi, namun secara minimum.

“Semua tetamu premis penginapan pelancong hendaklah berada di dalam bilik penginapan mengikut tempoh berkenaan dan tempahan sajian hendaklah dibuat secara ‘room service’.

“Proses pendaftaran tetamu (check-in) ke premis penginapan pelancong bagi tempoh perintah berkenaan adalah dibenarkan, tetapi dalam skala yang kecil dan dihadkan,” katanya.

Bagaimanapun, Nancy berkata, pelancong domestik baharu yang ingin mendaftar masuk ke premis penginapan pelancong tidak dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

VM2020 yang dilancarkan pada 31 Disember lepas menyasarkan kemasukan 30 juta pelancong dan menjana RM100 bilion pendapatan daripada industri pelancongan. - Bernama