‘Sila duduk di rumah dan jangan keluar’

Tinjauan Sinar Harian mendapati hanya premis seperti restoran, pasar raya yang menyediakan keperluan asas, hotel, pengurup wang dan kedai serbaneka dibuka. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Tinjauan Sinar Harian mendapati hanya premis seperti restoran, pasar raya yang menyediakan keperluan asas, hotel, pengurup wang dan kedai serbaneka dibuka. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

JANGAN pentingkan diri sendiri. Jangan buat sesuka hati tanpa fikir orang lain. Jangan ingkar arahan. Jangan dah kena baru nak menyesal. Bermacam-macam ‘jangan’ lagi dibangkitkan majoriti rakyat Malaysia sejak kelmarin.

Emosi kemarahan mereka seakan-akan tidak dapat dibendung lagi. Semuanya gara-gara tindakan ribuan warga kota yang berpusu-pusu pulang ke kampung halaman masing-masing. Barangkali, mahu menikmati ‘Cuti-cuti Malaysia’ susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Bagi mereka yang akur dengan arahan pihak kerajaan, situasi itu bukan seperti apa yang diharapkan. Kata mereka, ‘rombongan’ itu tidak sepatutnya berlaku tatkala kes Covid-19 di negara ini makin meningkat.

Dalam hal ini, golongan pelajar universiti dan kolej boleh dikecualikan. Pada satu ketika, mereka seolah-olah ‘digantung tak bertali’. Sebabnya, tiada arahan yang jelas daripada pihak berkuasa – ke mana sepatutnya arah tuju mereka.

Hakikatnya, kita sebagai warganegara Malaysia harus lebih bertanggungjawab membantu pihak kerajaan menangani wabak pandemik ini. Harus diingat, Malaysia kini berada di tangga pertama dari rantau Asia Tenggara yang mencatatkan kes Covid-19 paling tinggi.

Buat masa ini, kerajaan hanya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan belum lagi Lockdown (Perintah Berkurung). Ini bermakna, kita sebagai rakyat Malaysia masih boleh keluar dari rumah untuk urusan-urusan penting termasuk membeli barangan keperluan harian.

Namun, jika ada rakyat Malaysia yang masih berdegil dengan arahan pihak kerajaan, maka jangan terkejut jika kes Covid-19 ini akan terus meningkat, malah mungkin boleh menjadi igauan ngeri buat kita semua.

Cukuplah dengan apa yang terjadi di Itali. Hanya disebabkan kedegilan sebahagian rakyatnya, Itali kini merekodkan kes Covid-19 berlipat kali ganda hanya dalam tempoh beberapa hari.

Artikel Berkaitan:

Sebaik-baiknya kita menjadikan tragedi di Itali sebagai satu pengajaran. Jadi apa yang kita sebagai rakyat Malaysia perlu lakukan: ikut saja arahan pihak berkuasa. Tak perlu tuding jari salahkan mana-mana pihak. Tanya diri sendiri, segala-galanya bermula daripada kita. Akhir kata, ‘sila duduk di rumah dan jangan keluar’.