X

Kindly register in order to view this article
!

Orang kita cepat panik, tetapi degil

A
A

ORANG kita cepat panik. Pantang ada berita pelik sedikit, mereka menjadi gubra gila-gila, walaupun itu hanya khabar angin @ berita palsu.

Ada sumber berita rasmi daripada media dan kerajaan, tetapi perangai orang kita lebih percaya membuta tuli kepada berita palsu.

Itulah puncanya ramai panik membeli-belah dua hari lalu apabila ada khabar angin mengenai perintah berkurung yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kebanyakan pasar raya di Kuala Lumpur diserbu pengguna yang cemas bagaikan perang dunia akan berlaku esok. Dalam masa beberapa jam, rak-rak di pasar raya kosong.

Dalam keadaan cemas, terserlah sikap ‘kiasu’ @ pentingkan diri. Mereka mengaut semua barang, langsung tidak mengambil kira keperluan pengguna lain. Macam mereka seorang yang hendak hidup!

Ada yang membeli beras lima-enam kampit, mengaut semua mi segera di rak, menyapu bersih semua makanan basah dan kering.

Hatta, ada yang membeli berpuluh pek tisu tandas; agaknya dia ke tandas 10 kali sejam. Timbul pertanyaan, kalau semua tisu tandas habis, bagaimana yang tidak sempat membeli hendak berurusan di tandas? ‘Paper lama’?

Di hadapan mata, saya melihat sifat pentingkan diri sesetengah orang kita. Saya masuk ke sebuah farmasi di Kelana Jaya untuk membeli cecair pencuci tangan.

Seorang pengguna datang dan tanpa menimbangkan pengguna lain, mengaut semua cecair yang ada di rak, lebih 20 botol.

Demikianlah dalam keadaan panik kita menyerlahkan perangai buruk kita, terlalu mementingkan diri sendiri, hilang langsung rasa prihatin pada orang lain.

Panik kerana hal-hal tidak pasti, tetapi degil pula pada hal-hal yang telah pasti. Mereka percaya khabar angin, tetapi tidak akur arahan sebenar.

Apabila kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan, matlamat utamanya adalah supaya orang ramai tidak keluar rumah selama dua minggu.

Perintah itu untuk mengawal merebaknya Covid-19 daripada menjadi lebih buruk. Tetapi orang kita tidak panik pula dengan arahan kerajaan itu. Mereka tidak berkurung di rumah sebaliknya berbondong-bondong pulang ke kampung.

Stesen bas penuh orang, balai polis diserbu untuk mendapatkan surat kebenaran keluar daerah dan jalan raya sesak dengan kenderaan.

Kita berebut membeli mi segera dan tisu tandas, tetapi kita tidak prihatin – degil! – dengan arahan berkurung di rumah.

Ada juga orang kita yang bersikap tidak kisah dan seolah-olah hanya berserah kepada takdir. Ada sekitar 14,000 orang – sebahagian besar rakyat tempatan – menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling. Kuala Lumpur. Setakat semalam tidak sampai 4,000 berjumpa doktor untuk disaring.

Pihak berkuasa dan imam masjid berkenaan telah merayu kepada peserta supaya menjalani pemeriksaan doktor, tetapi ramai yang berdegil. Inilah orang kita!

Kita sedang menghadapi krisis. Dalam keadaan seperti ini kita patut mematuhi arahan pihak berkuasa. Kurangkan pergerakan dan banyak berkurung di rumah. Jangan pentingkan diri.

Jangan gatal tangan dan bermulut joyah dengan menyebarkan berita palsu. Seperti dilaporkan media, setakat semalam polis telah membuka 40 kertas siasatan terhadap mereka yang menyebarkan khabar angin dan berita tidak sahih berhubung dengan Covid-19.

Orang yang gatal tangan ini menimbulkan panik dan menyusahkan orang ramai.

Orang politik pula jangan saling tuduh-menuduh. Tidak kira parti mana, bekas menteri atau bekas pegawai sepatutnya memberi kerjasama dengan idea-idea bernas, bukan menuding jari.

Ada yang menuduh kerajaan lambat bertindak, Muhyiddin lembap macam siput. Suara-suara macai politik seperti ini tidak membantu keadaan.

Ada yang kata dalam hal Perintah Kawalan Pergerakan, garis panduan kerajaan tidak jelas. Memang ada yang tidak jelas dan perlu dijelaskan segera. Tetapi arahan supaya mengurangkan pergerakan dan banyakkan duduk di rumah selama dua minggu itu jelas dan nyata.

Hanya orang tidak waras dan degil yang tidak jelas dengan arahan tersebut!

* Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian. Beliau merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah (UMS)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!