Covid-19: Ujian vaksin ke atas manusia

Lebih 100 ujian klinikal dijalankan di China untuk membuktikan keberkesanan vaksin bagi merawat Covid-19. - FOTO: AGENSI
Lebih 100 ujian klinikal dijalankan di China untuk membuktikan keberkesanan vaksin bagi merawat Covid-19. - FOTO: AGENSI
A
A
A

BEIJING - China memberi lampu hijau kepada penyelidik untuk memulakan ujian keselamatan manusia terhadap vaksin koronavirus (Covid-19) sebagai usaha merawat pandemik itu yang telah meragut lebih 7,000 nyawa di seluruh dunia.

Semalam, akhbar People's Daily melaporkan penyelidik di Akademi Sains Perubatan Tentera yang bergabung dengan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) mendapat kelulusan untuk melancarkan ujian klinikal peringkat awal tentang potensi vaksin tersebut bermula minggu ini.

Butiran dalam pangkalan data pendaftaran klinikal menunjukkan ujian peringkat pertama menyasarkan untuk merekrut 108 individu sihat bagi menyertai prosedur tersebut antara 16 Mac dan 31 Disember 2020.

Ujian untuk mengesahkan sama ada ia selamat atau tidak ke atas manusia itu akan dilakukan oleh Akademi Sains Perubatan Tentera dan firma bioteknologi, CanSino Biologics.

Difahamkan, ujian suntikan vaksin percubaan berkenaan melibatkan individu yang berusia 18 hingga 60 tahun dalam tiga dos berbeza.

Rancangan itu bagaimanapun menerima reaksi kurang senang pakar.

“Anda merancang ujian itu ke atas individu sihat yang mungkin tidak pernah terdedah kepada agen penyakit berjangkit. Ia mungkin terdapat sedikit margin untuk masalah keselamatan,” kata Presiden Unit Vaksin Global di Takeda Pharmaceutical Co di Jepun, Dr Rajeev Venkayya.

CanSino Biologics dalam satu kenyataan memaklumkan ia diberi kebenaran untuk diuji ke atas manusia selepas ujian terhadap haiwan terbukti selamat dan kebal terhadap virus.

Artikel Berkaitan:

Sejak penularan wabak itu ke seluruh dunia, lebih 100 ujian klinikal dilancarkan di China untuk mengkaji keberkesanannya termasuk menggunakan ubat antiselesema, plasma darah daripada pesakit telah sembuh dan ubat-ubatan herba Cina.

Selain itu, beberapa ujian dijalankan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan Thailand.

Kelmarin, AS mengesahkan ujian klinikal telah bermula untuk vaksin yang dihasilkan oleh Institut Kebangsaan Alergi dan Penyakit Berjangkit dan firma bioteknologi, Moderna.

Pentadbiran Presiden Donald Trump didakwa terus memberi tekanan kepada pengeluar ubat di Washington untuk menghasilkan vaksin dalam tempoh singkat.

Firma bioteknologi, Moderna Inc yang berpusat di Cambridge, Massachusetts dikatakan menerima kelulusan pengawalseliaan untuk ujian lebih cepat terhadap manusia sekali gus melangkaui fasa percubaan ke atas haiwan yang merupakan norma dalam penghasilan vaksin. - Agensi