SPJ sedia urus jenazah pesakit Covid-19 seluruh negara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Skuad Pengurusan Jenazah (SPJ) Malaysia bersedia menyediakan khidmat untuk menyempurnakan jenazah pesakit koronavirus (Covid-19) di seluruh negara sekiranya diperlukan bagi membantu kerajaan dan rakyat.

Pengerusi Eksekutifnya, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid menegaskan bahawa penyempurnaan jenazah pesakit Covid-19 perlu mengikut kaedah-kaedah yang ditetapkan bagi jenazah Islam dan bukan Islam.

Menurutnya, jenazah pesakit Covid-19 perlu dimandikan dengan cecair peluntur Natrium Hipoklorit (NaCIO) seperti clorox yang dicampur dengan air biasa dengan nisbah 1:10 sekiranya pengurus jenazah mampu mengendalikannya dan dibaluti plastik di keseluruhan jasad jenazah sebelum dikafankan.

"Namun sekiranya bimbang kesan mudarat kepada pihak pengurusan jenazah maka diharuskan jenazah Islam untuk ditayammumkan sebagaimana keputusan persidangan Majlis Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke 107," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-107 itu telah bersidang pada 10 dan 11 Februari 2015.

Ahad lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jenazah mangsa Covid-19 hanya ditayamum atas balutan plastik berdasarkan muzakarah berkaitan hukum pengurusan mayat pesakit ebola.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu berkata, kaedah itu dibuat pada permukaan beg berdasarkan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada Februari 2015.

Namun dalam kenyataan medianya itu, Dr Zulkifli berkata, kelonggaran diberikan sekiranya ada kemungkinan wujud kemudaratan kepada nyawa manusia yang menguruskan jenazah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Muhammad Rafieudin berkata, bagi jenazah yang bukan beragama Islam, elakkan daripada menjalankan proses pengawetan mayat (embalming) kerana risikonya jauh lebih besar.

Menurutnya, pengurusan jenazah bagi mereka yang bukan beragama Islam boleh mengikuti langkah-langkah sama seperti menguruskan jenazah pesakit Covid-19 yang beragama Islam.

"Jenazah orang Islam harus dikebumikan segera dan bagi mayat yang bukan Islam juga harus dibakar dengan segera atau mengikut kaedah masing-masing," katanya.

Katanya lagi, SPJ Malaysia berserta barisan badan bukan kerajaan (NGO) dalam Gabungan SPJ Malaysia bersiap siaga membantu kerajaan dan rakyat dalam menangani penularan Covid 19 khususnya dalam pengendalian jenazah sekiranya diperlukan di seluruh negara.

"Bersamalah kita berdoa semoga wabak penyakit ini segera dihapuskan dan kita semua dilindungi terkena jangkitan," katanya.

Terdahulu, jenazah lelaki warga tempatan yang merupakan antara dua kes kematian pertama akibat penularan wabak Covid-19 di negara ini selamat dikebumikan kira-kira jam 9 malam di Johor semalam.

Jenazah lelaki berusia 34 tahun itu, tiba dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada jam 8.16 malam.

Pada 8.45 malam, kira-kira 10 lelaki berpakaian lengkap dengan peralatan perlindungan peribadi (PPE) mengangkat jenazah yang telah siap dikafankan menggunakan pengusung hospital.

Tidak seorang pun dibenarkan menghampiri kawasan perkuburan sehingga selesai pengebumian termasuk pihak media.

Lelaki itu mengalami gejala demam mulai 5 Mac lalu sebelum mendapat rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru pada 12 Mac setelah dikesan positif Covid-19.

Keadaan kesihatannya didapati merosot dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi sebelum disahkan meninggal dunia.