23 kucing diadopsi dalam masa sejam

Antara kucing yang ditawarkan untuk diadopsi ketika program berkenaan.
Antara kucing yang ditawarkan untuk diadopsi ketika program berkenaan.
A
A
A

SHAH ALAM - Hanya dalam masa satu jam sahaja, sebanyak 23 ekor kucing diadopsi oleh pemilik baharu semasa Program ‘Kucing Angkat’ sempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan 2019, semalam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, kesemua kucing yang diadopsi dalam program berkenaan adalah kucing liar yang ditangkap oleh pihak MBSA di kawasan-kawasan seperti pasar dan gerai sebelum ini.

"Sebelum diadopsi, kucing-kucing ini telah divaksin, dan dibuat pemeriksaan kesihatan. Setiap kucing yang diadopsi daripada pihak MBSA dikenakan bayaran sebanyak RM20 dan maksimum pengambilan kucing adalah sebanyak 2 ekor bagi seorang pemilik.

"Selain itu, MBSA turut bekerjasama dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Selangor dan pihak World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia untuk menjayakan program ‘Kucing Angkat’ ini," katanya menerusi kenyataan.

Antara pengunjung yang menjadi pemilik baharu kepada salah seekor kucing.
Antara pengunjung yang menjadi pemilik baharu kepada salah seekor kucing.

Dalam pada itu, Shahrin berkata, program berkenaan diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada komuniti setempat serta menggalakkan kerjasama secara berterusan daripada semua pihak untuk bersikap lebih bertanggungjawab kepada haiwan peliharaan demi untuk persekitaran yang bersih dan selamat.

"Selain itu, ia juga merupakan platform untuk meningkatkan kesedaran terhadap pemilikan haiwan secara bertanggungjawab.

"Antara pengisian aktviti semasa program ini adalah seminar, pameran statik, serta ‘booth’ jualan. Program ini juga menerima tajaan dari beberapa syarikat pengeluaran makanan haiwan serta klinik rawatan haiwan yang menyokong program sebegini dilaksanaka," katanya.

Artikel Berkaitan: