Covid-19: Jabatan Penerangan Perak laksana hebahan bergerak

Kenderaan Jabatan Penerangan digerakkan di seluruh daerah di Perak bagi membuat hebahan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan Covid-19. -Foto Jabatan Penerangan Perak
Kenderaan Jabatan Penerangan digerakkan di seluruh daerah di Perak bagi membuat hebahan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan Covid-19. -Foto Jabatan Penerangan Perak
A
A
A

IPOH - Jabatan Penerangan Perak telah menggerakkan jentera bagi membantu membuat hebahan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan di 12 daerah di negeri ini mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Pengarahnya, Mohd Taip Ubah berkata, kenderaan Unit Bergerak Jabatan Penerangan di semua daerah dikerahkan untuk menyampaikan maklumat berkaitan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang telah diwartakan pada 18 Mac lalu.

Beliau berkata, inisiatif yang dilakukan Jabatan Penerangan itu selaras arahan kerajaan negeri dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negeri Perak berkaitan Covid-19 meminta semua jentera membantu menggembleng tenaga dan usaha mencegah penularan wabak tersebut.

"Semua Pejabat Penerangan Daerah di Perak diarahkan untuk membuat hebahan dari semasa ke semasa untuk menyedarkan masyarakat berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan serta bahaya Covid-19 ini.

"Kita merayu kepada orang ramai supaya memberikan kerjasama serta mematuhi arahan kerajaan dari masa ke semasa bagi membanteras penularan Covid-19 ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Taip berkata, hebahan tersebut dibuat di kawasan-kawasan tumpuan seperti premis perniagaan, perumahan, kampung, tanah rancangan FELDA, perkampungan orang asli dan sebagainya.

Katanya, empat bahasa digunakan iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Mandarin dalam hebahan tersebut dengan kekerapan tiga kali sehari pada waktu pagi, tengah hari dan petang.

Artikel Berkaitan: