Covid-19: NS peruntuk RM3 juta bantuan keperluan asas

Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan hari ini.
Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM3 juta untuk menyediakan bantuan barangan keperluan asas harian kepada individu berpendapatan rendah yang terjejas punca pendapatan akibat koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan berkenaan adalah antara inisiatif khas yang disediakan kerajaan negeri bagi mengurangkan beban rakyat dalam mendepani kesan penularan Covid-19.

Menurutnya, bayaran Bantuan Am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga diawalkan supaya dapat dibelanjakan untuk kegunaan harian.

"Malah bayaran gaji penjawat awam Negeri Sembilan diawalkan kepada 20 Mac ini dan tempoh akhir bayaran cukai tanah daripada 31 Mei kepada 31 Julai 2020 tanpa dikenakan bayaran denda lewat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu katanya, setiap daerah menyediakan dua premis untuk petugas kesihatan yang terlibat dalam usaha menangani Covid-19.

Aminuddin berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Sembilan (PKOBNS) yang bertempat di Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dibuka 24 jam sehari dan telah diaktifkan sejak Ahad lalu bagi menangani Covid-19.

"Ia berperanan untuk menyelaras operasi dan pelaporan menangani wabak ini.

"Mesyuarat Penyelarasan Kluster Covid-19 peringkat Negeri Sembilan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan juga akan bermesyuarat dengan lebih kerap bagi menangani isu-isu yang timbul," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, satu garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Penjawat Awam Negeri Sembilan juga akan dikeluarkan.

Jelas beliau, kerajaan negeri akan menilai semula inisiatif dan isu-isu berkaitan wabak itu dari semasa ke semasa mengikut keperluan.