Covid-19: Cuepacs gesa rakyat beri kerjasama, patuh arahan kerajaan

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu dalam menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19) serta mengikuti arahan kerajaan secara terus tanpa sebarang pertikaian.

Presidennya, Adnan Mat berkata, ketika penjawat awam barisan hadapan kekal fokus membendung penularan wabak tersebut, kerjasama rakyat sangat diperlukan dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa hari ini sehingga 31 Mac nanti.

"Saya sedar, situasi di luar lebih kalut dengan maklumat tular yang tidak membantu, sebaliknya menjurus kepada pertikaian dan saling menyalahi satu sama lain.

"Namun kita baharu sahaja melalui hari pertama untuk Perintah Kawalan Pergerakan dan masih ada baki 13 hari lagi. Pengorbanan sepanjang tempoh ini menentukan nasib Malaysia selepas ini dan akan datang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, insiden orang ramai berpusu-pusu ke balai polis seluruh negara sejak lewat petang semalam untuk mendapatkan surat perlepasan bergerak ke negeri lain sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan telah menimbulkan pelbagai persepsi negatif terhadap kerajaan.

Banyak pihak menuding jari menyalahkan kerajaan kerana mendakwa arahan diberikan mengelirukan sehingga menimbulkan keadaan panik dan akhirnya polis terpaksa menarik balik arahan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Adnan menggesa seramai 1.62 juta penjawat awam kecuali yang diarahkan bertugas untuk terus kekal bertugas dari rumah dan mengurangkan pergerakan termasuk mengawal ahli keluarga agar patuh kepada perintah larangan pergerakan berkenaan.

"Jika semua ini dapat dilakukan, maka sektor awam sahaja mampu mengawal pergerakan 8 juta penduduk Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga berterima kasih kepada semua bank yang membuat penstrukturan semula pinjaman kepada pelanggan mereka sebagaimana saranan Cuepacs pada Ahad lalu," katanya.

Selain itu katanya, Cuepacs juga memohon kerajaan mengambil kira kebajikan pekerja sambilan harian kerana dengan berkuatkuasanya sekatan ini bermakna mereka tidak bekerja dan hilang pendapatan.

Adnan berkata, Cuepacs turut menerima pelbagai aduan daripada pekerja susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan antaranya penutupan taska swasta dan tidak ada taska jabatan menyebabkan pekerja yang diarahkan bertugas mengalami kesukaran.

"Kita harap ketua perkhidmatan bijak dalam menguruskan hal ini termasuk langkah kawalan kerja lebih masa yang tidak mesra pekerja iaitu memotong satu jam waktu lebih masa dengan menganggapnya waktu rehat sedangkan pekerja bekerja tanpa mengira masa dan tiada istilah keletihan sebaliknya keutamaan kepada negara.

"Bagi penjawat awam di skim keselamatan seperti polis, tentera dan lain-lain sama ada beruniform atau pegawai awam yang dikehendaki atau diarah bertugas di pejabat, budi bicara ketua jabatan perlu untuk membenarkan mereka diberi kemudahan Cuti Tanpa Rekod (CTR) bagi hal-hal kecemasan seperti penjagaan anak kerana taska dan pusat jagaan kanak-kanak diarah tutup.

"Ia juga bagi mengelakkan penjawat awam membawa anak-anak ke pejabat kerana tiada pengasuh, sedangkan arahan jelas untuk mengurangkan jumlah kehadiran penghuni ke pejabat," katanya.