Terengganu arah hotel, tempat peranginan ditutup

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu hari ini mengarahkan operasi hotel dan tempat peranginan di seluruh negeri itu ditutup daripada dikunjungi orang ramai.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu bagi mengekang penularan Covid-19.

Menurutnya, tempoh kawalan pergerakan selama 14 hari yang bermula hari ini sehingga 31 Mac bukan tempoh untuk bersantai dan bercuti.

"Tempoh dua minggu ini bukan untuk bersantai-santai. Mereka yang berada di tempat-tempat demikian itu perlu 'lockdown' di tempat itu.

"Ini bukan sekadar saranan tetapi perkara yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan dan undang-undang," katanya kepada media ketika mengadakan tinjauan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) hari ini.

Selain itu, Ahmad Samsuri memaklumkan kerajaan Terengganu mengambil langkah untuk membantu penjagaan anak petugas dan kakitangan hadapan yang bertungkus-lumus melindungi masyarakat daripada wabak Covid-19.

Beliau berkata, mereka adalah termasuk petugas hospital iaitu doktor, jururawat dan wira-wira Covid-19 yang terpaksa meninggalkan keluarga serta anak kecil.

"Oleh kerana pusat jagaan dan taska ditutup maka mereka tiada pilihan. Justeru kita sedang dalam proses untuk menyelesaikan perkara ini.

Artikel Berkaitan:

"Ramai sukarelawan yang tampil ke hadapan menawarkan khidmat mereka membantu meringankan beban petugas hospital," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut menggesa petugas media agar membuat ujian saringan.

"Kita semua berisiko sebenarnya tidak ada orang terkecuali termasuk petugas media yang perlu berjumpa pelbagai pihak ketika membuat liputan dalam melaksanakan tuntutan tugas masing-masing," katanya.