Menyamar polis, samun warga asing

Isshamuddin Idris, 38, dan rakannya Mohd Fittri Abdol Wahab, 34, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.
Isshamuddin Idris, 38, dan rakannya Mohd Fittri Abdol Wahab, 34, dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.
A
A
A

MELAKA - Dua sahabat dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, atas tuduhan mendatangkan kecederaan ke atas lelaki yang disamun mereka, Disember tahun lalu.

Hakim, Elesabet Paya Wan memerintahkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh Isshamuddin Idris, 38, dari Kampung Padang Kerbau, Alor Gajah dan Mohd Fittri Abdol Wahab, 34, dari Kampung Baru, di sini, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan ke atas mereka.

Mengikut pertuduhan, mereka telah mendatangkan kecederaan ke atas warga asing, Fouj Ali Khan dan Hukam Zad menggunakan sebatang besi kuku kambing semasa melakukan samun pada jam 10.15 malam, 28 Disember 2018 di Taman Perindustrian Merdeka, Batu Berendam di sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Mengikut fakta kes, pengadu iaitu Fouj Ali Khan yang juga seorang buruh berada dalam bilik tidur disediakan majikannya dikejutkan dengan kehadiran rakan sebiliknya iaitu Hukam Zad yang masuk ke bilik terbabit bersama dua lelaki tidak dikenali dengan seorang daripadanya memegang besi panjang.

Dua lelaki (suspek) terbabit mendakwa diri mereka sebagai polis dan mengarahkan pengadu dan rakan pengadu mengeluarkan pasport serta barang berharga selain mengugut akan memukul mereka menggunakan besi jika enggan berbuat demikian.

Gara-gara ketakutan, kedua-dua mangsa menyerahkan beg yang mengandungi kad pengenalan Pakistan atas nama mangsa, wang tunai RM150, i-kad, serta pasport selain telefon bimbit jenis Samsung Note 3 kepunyaan Hukam Zad.

Ketika tertuduh beredar, mangsa menyedari kedua-duanya bukan polis lalu mengejar mereka dan berjaya menahan tertuduh pertama iaitu Ishhamuddin Idris manakala tertuduh kedua Mohd Fittri berjaya melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditahan, berlaku pergelutan antara tertuduh pertama dengan pengadu malah Isshamuddin memukul mangsa menggunakan besi di bahagian tangan sehinga cedera, manakala seorang lagi mangsa menghubungi polis.

Sementara menunggu polis, mangsa mengikat tertuduh pertama dan mencari tertuduh kedua di kawasan kejadian sebelum menemui satu beg duit berwarna coklat yang didalamnya terdapat kad pengenalan Mohd Fittri.

Polis kemudian menahan tertuduh kedua pada jam 5.30 petang pada 1 Januari 2019 di persimpangan lampu isyarat Batu Hampar, Batu Berendam, di sini.

Kes dikendali Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi manakala kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Isshamuddin merayu hukuman ke atasnya diringankan kerana menanggung 12 adik beradik dan ada antaranya masih bersekolah, manakala Mohd Fittri pula merayu hukuman serendah-rendahnya kerana menanggung empat adik bersekolah selain kedua ibu bapanya tidak berkerja.

Bagaimanapun, Siti Ruvinna membantah hukuman ringan diberikan.

"Saya pohon hukuman yang bersifat deterent (bersifat pengajaran) dikenakan ke atas tertuduh, meskipun tertuduh mengaku bersalah pada kali pertama pertuduhan dibacakan.

"Mahkamah juga perlu mengambil kira faktor kecederaan dan pergelutan yang berlaku selain memberi pengajaran kepada masyarakat," kata Siti Ruvinna ketika prosiding.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Elesabet kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara lapan tahun bermula dari tarikh tangkap (28 Disember 2018 bagi tertuduh pertama dan 1 Januari 2019 bagi tertuduh kedua.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh disebat lima sebatan.