MKN perlu pantas perbaiki keadaan

MAHDZIR. - Foto: Bernama
MAHDZIR. - Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu bertindak pantas memperbaiki keadaan sekiranya terdapat pembetulan terhadap kenyataan yang dikeluarkan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa selama dua minggu mulai hari ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pasukan media MKN perlu agresif dalam menyampaikan maklumat terkini kepada rakyat.

Beliau berkata, MKN tidak perlu berasa malu untuk melakukan pembetulan.

"Sewaktu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman mengenai Perintah Kawalan Pergerakan kelmarin, banyak pihak yang tidak faham sepenuhnya akan arahan tersebut termasuklah agensi pelaksana yang terkial-kial mencari penyelesaian terbaik.

"Keadaan ini menyebabkan rakyat tidak berpuas hati dan resah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengeluarkan arahan agar orang ramai perlu mendapatkan surat perlepasan sekiranya ada keperluan untuk bergerak ke negeri lain sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Arahan itu bagaimanapun ditarik balik selepas mendapati orang ramai berpusu-pusu untuk mengisi dokumen di balai polis seluruh negara sejak lewat petang semalam sehingga menyebabkan kesesakan di balai polis serta perhentian bas.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, antara isu yang mencetuskan kegusaran dalam kalangan orang ramai adalah berkaitan pergerakan antara negeri dan keluar masuk ke negara jiran, di mana pihak berkuasa perlu memperhalusi dan membuat perincian mengenai kaedah pelaksanaan perjalanan yang dihadkan berdasarkan akta sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, berkenaan arahan pelajar perlu mengosongkan asrama apabila universiti ditutup, sepatutnya para pentadbir universiti lebih prihatin akan keadaan pelajar yang kampung halamannya jauh.

"Pekeliling baharu perlu dikeluarkan tanpa rasa malu supaya pelajar tidak perlu berpusu-pusu untuk mengosongkan asrama.

"Begitu juga dengan sektor F&B (makanan dan minuman), pihak kerajaan perlu memberi satu panduan yang jelas mengenai pengoperasian sektor itu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan," katanya.

Menurutnya, walaupun MKN baharu sahaja mengambil alih krisis menangani koronavirus (Covid-19), jangan berasa malu untuk menyediakan penerangan berterusan kepada rakyat.

Terdahulu, Muhyiddin melalui satu Perutusan Khas mengumumkan kerajaan perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac sehingga 31 Mac di seluruh negara bagi membendung penularan wabak Covid-19 dan ia meliputi enam perkara termasuk penutupan sekolah, premis swasta, institusi pengajian tinggi (IPT).

Bagaimanapun, perkhidmatan-perkhidmatan penting serta pasar awam, pasar raya, kedai runcit dan kedai serbaneka akan tetap dibuka kepada orang ramai.