Isu bendera terbalik: DAP Pulau Pinang beri amaran jangan ganggu, ugut penduduk

GEORGE TOWN – DAP Pulau Pinang memberi amaran tidak akan berdiam diri sekiranya ada pihak cuba mengugut atau mengganggu penduduk negeri ini berhubung isu bendera terbalik di Kepala Batas.
Pengerusinya, Steven Sim Chee Keong berkata, parti itu teguh mempertahankan keamanan dan keharmonian negeri malah bersedia turun ke lapangan bersama rakyat untuk berdepan provokasi.
“Isu ini telah diserahkan sepenuhnya kepada polis untuk disiasat mengikut undang-undang dan tiada ruang untuk mana-mana pihak ketiga mengapi-apikan keadaan.
“Jika ada pihak datang membuat provokasi, kami akan menyambut mereka dengan mengedarkan Jalur Gemilang sebagai simbol perpaduan dan kasih sayang kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau menegaskan, jalan penyelesaian terbaik adalah dengan menolak keganasan, provokasi perkauman atau maki hamun sebaliknya memilih tekad bersama seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk memelihara perpaduan.
“Perlu ada usaha mengukuhkan keharmonian serta menyuburkan rasa cinta kepada tanah air tercinta, Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau akan beri ‘kelas’ kepada pemilik kedai perkakasan di Kepala Batas mengenai cara memasang bendera dengan betul sekiranya lelaki itu tidak didakwa di mahkamah pada Rabu ini.
Muhamad Akmal berkata, pihaknya akan memberi tempoh dua hari kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk menjalankan pendakwaan.
"Kita beri kepada pendakwa raya selama dua hari, esok dan Rabu.
“Sekiranya tiada langsung pendakwaan terhadap individu ini, pada Khamis saya akan turun dan kita akan beri kelas untuk ajar ‘apek’ ini cara bagaimana nak pasang bendera dengan betul,” katanya dalam satu video di Facebook.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, kertas siasatan berhubung insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik akan dirujuk ke Putrajaya bagi mendapatkan arahan lanjut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, kertas siasatan berhubung insiden itu telah dibawa kepada TPR Pulau Pinang pada jam 2.30 petang, Isnin sebelum diarahkan untuk ditinggalkan bagi tujuan semakan.
Tindakan itu dibuat susulan pemilik kedai yang ditahan bagi membantu insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di hadapan premisnya telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

