X

Kindly register in order to view this article
!

'Henti tuding jari, rakyat perlu bersatu lawan wabak Covid-19'

Dr Maszlee - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia dinasihatkan berhenti menuding jari antara satu sama lain susulan berlaku keadaan luar jangka selepas polis mengeluarkan arahan meminta orang ramai mendapatkan surat pelepasan untuk ke negeri lain sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berkata, tempoh semalam agak huru-hara baik di pihak kerajaan mahupun masyarakat tetapi ini bukan masanya untuk saling menyalahkan antara satu sama lain.

Beliau berkata, sejarah akan mengadili pihak kerajaan pada masa depan sekiranya terbukti kelemahan di pihak mereka.

Namun katanya, tanggungjawab sebagai rakyat hari ini harus dilaksanakan untuk mematuhi arahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan hadkan pergerakan ahli keluarga serta keluar dari rumah hanya jika perlu.

"Tanggungjawab sebagai rakyat ini lebih berat untuk kita bantu selesaikan bersama kerana ia akan menentukan sama ada wabak koronavirus (Covid-19) ini akan berjaya kita kurangkan pada masa depan atau tidak.

"Ini adalah masanya untuk kita sebagai rakyat Malaysia, bersatu padu melawan wabak ini.

"Masa depan anak-anak kita berada di tangan kita dan masa depan negara yang kita cintai ini, bergantung kepada apa yang akan kita lakukan secara bersama-sama selama dua minggu ini," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Katanya, beliau memohon kepada semua untuk menghentikan perselisihan dan bersama-sama membantu antara satu sama lain pada waktu kritikal ini.

"Setiap ahli masyarakat dari orang politik sehingga kepada anak kecil dan anak siswa, ibu bapa, pemimpin di kampung-kampung, pemimpin surau dan masjid, tanpa mengira kaum dan agama, semua lapisan rakyat, harus bersatu padu. Tidak ada waktu yang lebih tepat lagi untuk kita jaga kita, inilah masanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengeluarkan arahan agar orang ramai perlu mendapatkan surat perlepasan sekiranya ada keperluan untuk bergerak ke negeri lain sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula hari ini sehingga 31 Mac nanti.

Arahan itu bagaimanapun ditarik balik selepas mendapati orang ramai berpusu-pusu untuk mengisi dokumen di balai polis seluruh negara sejak lewat petang semalam sehingga menyebabkan kesesakan di balai polis serta perhentian bas.

Dalam pada itu, Maszlee turut menitipkan pesanan agar tempoh 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat khususnya anak-anak dan siswa yang bercuti dengan membaca buku.

"Manfaatkan kelapangan waktu untuk melihat semula buku-buku yang tidak sempat kita sentuh sebelum ini dan ibu bapa juga dinasihatkan untuk memenuhkan aktiviti termasuk aktiviti ilmu bersama keluarga di rumah serta mengajar anak-anak untuk saling membantu mereka yang memerlukan pada waktu kritikal ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!