Perdim minta kerajaan isytihar lokasi berisiko tinggi Covid-19

Perintah Kawalan Pergerakan seharusnya dibuat mengikut zon tertentu dengan memberi penekanan di lokasi berisiko tinggi penularan wabak Covid-19.
Perintah Kawalan Pergerakan seharusnya dibuat mengikut zon tertentu dengan memberi penekanan di lokasi berisiko tinggi penularan wabak Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seharusnya dibuat mengikut zon tertentu dengan memberi penekanan di lokasi berisiko tinggi penularan wabak koronavirus (Covid-19) berbanding dilakukan seluruh negara.

Ahli Jawatankuasa Pusat, Persatuan Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Zubaidi Ahmad berkata, pelaksanaan secara menyeluruh bagi mengekang penularan Covid-19 ini hanya akan menimbulkan situasi keresahan ramai walaupun rakyat diingatkan supaya tidak panik.

“Sepatutnya dalam isu macam ini saya minta kerajaan berikan kawasan titik panas atau zon merah, kuning dan hijau kerana tidak semua kawasan di Malaysia atau daerah di Malaysia ini mengalami masalah atau mengalami risiko yang sama.

“Contohnya di kampung-kampung, mereka memang jauh (daripada penularan wabak), jadi pergerakan mereka tidak seharusnya disekat.

“Sebagai contohnya kalau di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru atau di tempat yang disahkan (positif) sudah ada penyakit Covid-19 yang itu kita anggap sebagai zon merah. Kalau itu memanglah kita harus laksanakan perintah ini bagi mengawal wabak,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Dr Zubaidi berkata, secara asasnya rakyat pastinya akan menjadi panik dengan pengumuman kerajaan itu kerana beranggapan situasi yang berlaku adalah serius.

Dr Zubaidi Ahmad
Dr Zubaidi Ahmad

Katanya, berikutan itu akan wujud pembelian panik di mana pasar raya atau kedai-kedai barangan keperluan akan diserbu ramai untuk mendapatkan bekalan bagi kegunaan dua minggu itu.

Artikel Berkaitan:

“Hal ini juga akan menyebabkan harga barang akan menjadi lebih mahal berbanding biasa dan apabila benda ini berlaku saya rasa kemungkinan bukan setakat keperluan asas tetapi kemudahan lain pun akan jadi masalah.

“Sebagai contoh, klinik kemungkinan akan menjadi tumpuan orang kerana mereka panik bila ada batuk dan selesema akan terus serbu klinik,” katanya.

Bagaimanapun Dr Zubaidi menjelaskan, apabila perintah itu telah dikeluarkan, rakyat tidak mempunyai pilihan lain selain mematuhi arahan berkenaan.

“Secara asasnya apa yang dilakukan kerajaan adalah untuk memastikan penyebaran wabak ini dapat ditangani daripada terus merebak dengan lebih teruk,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa menjaga kesihatan diri sepanjang dua minggu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan itu agar tidak dijangkiti wabak berkenaan.

“Paling utama adalah kerapkan minum air, makan makanan berkhasiat serta pastikan kebersihan diri diberi keutamaan dengan sentiasa membasuhkan tangan menggunakan sabun.

“Kalau perlu keluar sesekali, pastikan memakai topeng muka,” katanya.