Dua bom meletup di Yala, 7 wartawan antara 25 mangsa cedera

Gambar hiasan. Foto: 123RF
Gambar hiasan. Foto: 123RF
A
A
A

YALA - Dua butir bom telah meletup di hadapan sebuah pejabat kerajaan dalam Wilayah Yala di selatan Thailand menyebabkan 25 orang cedera termasuk tujuh wartawan,kata seorang pegawai keselamatan.

Jurucakap Divisyen ke-4 Tentera Kolonel Pramote Prom-in berkata, letupan di hadapan Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) berlaku ketika para pegawai tinggi dan pegawai kesihatan sedang bermesyuarat bagi membincangkan penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, bom buatan sendiri yang pertama meletup pada kira-kira 10.30 pagi (waktu tempatan) di luar pejabat SBPAC, dipercayai bertujuan menarik orang ramai keluar.

“Kira-kira 10 minit kemudian, sebutir lagi bom buatan sendiri yang diletakkan di sebuah trak pikap, kira-kira 100 meter dari bilik mesyuarat itu, meletup.

“25 orang cedera, termasuk tujuh wartawan tempatan, beberapa orang yang lalu-lalang, anggota polis dan tentera. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Letupan kedua itu telah merosakkan sesetengah bahagian bangunan itu dan beberapa kereta yang diparkir di kawasan berhampiran.

Polis belum menolak sebarang motif di sebalik pengeboman itu. Bagaimanapun, setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan pengeboman itu.

Sementara itu, Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chan o-cha yang juga Menteri Pertahanan Thailand telah mengarahkan pasukan keselamatan untuk memburu pelaku insiden pengeboman tersebut untuk mengheret mereka ke muka pengadilan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengarahkan agensi berkaitan untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa yang cedera dalam insiden itu.

Sementara itu, jurucakap pertahanan Leftenan Jeneral Kongcheep Tantravanich berkata, Kementerian Pertahanan mengutuk serangan hari ini.

“Ia adalah perbuatan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Ia juga mencabul hak asasi manusia dan menjadi halangan kepada proses damai yang sedang berlangsung di selatan Thailand,” menurutnya dalam satu kenyataan.- Bernama