Berehat untuk bermuhasabah

A
A
A

PETANG kelmarin jumlah pengunjung ke pasar raya berhampiran dengan rumah saya macam pada petang Ramadan. Jalan jem. Sehinggakan memaksa seorang anggota polis turun dari jip yang kebetulannya lalu di jalan untuk mengkordinasikan lalu lintas.

Pasar raya sesak. Pembeli pula berbaris di kaunter pembayaran. Wajah-wajah mereka kesemuanya ketat. Selepas membayar, masing-masing kelihatan tergesa-gesa keluar ke kenderaan masing-masing seperti mengejar waktu berbuka.

Tak nampak pula mereka panic buying. Cuma yang jelas ada dalam kalangan mereka yang impulsive buying atau membeli tanpa berfikir hingga penuh troli seperti hendak menyimpan makanan tatkala perintah berkurung.

Tapi tanda-tanda yang rakyat mula gusar itu bagus kerana ia menggambarkan yang mereka mula faham dan amat berhati-hati agar terhindar daripada terkena penyakit tersebut.

Apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac 2020, kita wajib patuh dengan perintah yang memakan masa 14 hari itu. Dua kematian yang diumumkan semalam adalah amaran bahawa wabak ini amat berbahaya.

Sekolah dan universiti ditutup, premis perniagaan dan pejabat kerajaan juga tidak beroperasi melainkan sektor-sektor yang perlu sahaja.

Bagi yang tinggal di kota, kita tidak boleh menghabiskan cuti ini dengan bersantai di mall atau di pawagam kerana ia ditutup. Kita juga tidak boleh pergi berekreasi ke taman tema. Barangkali, sekadar berjoging di taman rekreasi sahaja yang okey kerana ia di tempat terbuka dan dilakukan dengan penjarakan sosial.

Yang berbeza juga kali ini ialah kita tidak dapat menjalani ibadah sembahyang berjemaah dan juga solat Jumaat di masjid. Segala aktiviti anjuran masjid juga tidak boleh dianjurkan. Kita mungkin akan mendengar azan dari rumah tanda masuknya waktu, tetapi hanya boleh menunaikannya di rumah. Mudah-mudahan ia akan menimbulkan rasa rindu kepada masjid.

Artikel Berkaitan:

Sebenarnya, Perintah Kawalan Pergerakan akan mengubah hidup kita. Jika cuti panjang yang kita alami sebelum ini seperti cuti hari raya yang dilalui dengan penuh keseronokan, cuti panjang kali ini adalah peluang bagi kita untuk mengatur kembali jalan hidup yang kononnya penuh dengan kesibukan.

Pada cuti kali ini, kita akan dikelilingi anak-anak yang boleh kita tatap kerana mereka tidak ke sekolah. Barangkali kita sempat bergurau senda dengan mereka sambil berbual dengan pasangan tatkala sarapan di rumah.

Apabila sang suami tidak ke surau, maka inilah masa yang baik untuk berjemaah bersama keluarga. Ini jugalah waktu yang bagus untuk melakukan tazkirah untuk memeriksa hala tuju hidup seisi keluarga.

Kita punyai dua minggu atau 14 hari atau 336 jam yang perlu kita jadikan waktu untuk memeriksa diri. Bila kita berasa sentiasa tidak cukup masa, sentiasa berasa terbeban dengan tugas dan selalu berasa bosan dengan apa yang dilakukan, inilah waktu terbaik untuk kita merefleksi diri.

Bagaimana pula bagi mereka yang bertugas di sektor-sektor penting yang terpaksa bekerja dan tidak memperoleh masa untuk berehat seperti sebilangan daripada kita? Apabila kita kena bekerja tanpa rehat dan tanpa cuti sedangkan kita tahu ada di antara jiran-jiran kita tidak bekerja, kita sebenarnya memperoleh bahagian kita juga.

Percayalah. Meskipun dalam keterpaksaan, kita adalah golongan yang terpilih untuk menjaga sebahagian rakyat Malaysia yang lain. Mereka yang terpaksa bercuti untuk mengatur diri itu adalah fardu ain. Kita yang terpaksa bekerja ini pula melakukan fardu kifayah. Dan, kita berpeluang dapat pahala berganda. Amin.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian