Kerajaan pimpinan Muhyiddin sah

A
A
A

SEJAK beberapa minggu yang lepas, perkataan ‘kerajaan pintu belakang’ sering diungkapkan oleh ramai orang.

Lebih membimbangkan ada sebilangan daripada mereka yang sepatutnya memahami undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan seperti peguam dan ahli politik, terus-menerus menggunakan terma berkenaan sehingga mewujudkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Seharusnya kita harus mengambil peluang ini untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan sivik kepada rakyat mengenai demokrasi dan pembentukan kerajaan agar rakyat lebih cakna sivik dan memahami peranan serta hak mereka sebagai pengundi.

Sebagai contoh, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah kerajaan yang sah kerana ia ditubuhkan mengikut lunas undang-undang iaitu Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan apabila beliau pada hemat Yang di-Pertuan Agong telah mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat Parlimen Malaysia.

Tuduhan kerajaan pintu belakang adalah nyata berniat jahat dan mengelirukan kerana kerajaan Muhyiddin ditubuhkan selepas kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu ‘runtuh’ kerana beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri yang dipegang beliau sejak 22 bulan lepas.

Amalan Perlembagaan dan konvensyen yang diamalkan di Malaysia meletakkan kedudukan Perdana Menteri itu tinggi dan menjadi asas kepada pembentukan Jemaah Menteri kerana Perdana Menterilah yang akan menasihati Seri Paduka untuk melantik barisan Kabinet bagi mentadbir cabang eksekutif negara.

Maka, peletakan jawatan Perdana Menteri oleh Dr Mahathir ketika itu adalah ‘picu’ atau trigger sebenar kepada kemelut politik negara pada minggu itu sehingga ‘memaksa’ Seri Paduka menjalankan tanggungjawab perlembagaan untuk menentukan siapakah yang menerima sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat Parlimen Malaysia.

Mengapakah Dr Mahathir tidak menggunakan kaedah Parti Konservatif United Kingdom di mana pengganti David Cameron ditentukan terlebih dahulu iaitu Theresa May sebelum beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri di pertengahan penggal. Dengan adanya Theresa May sebagai pengganti, kerajaan baharu ditubuhkan dengan mudah kerana baginda Ratu telah yakin dengan sokongan majoriti yang diterima Theresa May. Tetapi itu tidak berlaku di Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Di sinilah kita dapat saksikan bagaimana Malaysia bertuah kerana masih mempunyai Raja-Raja Melayu sebagai payung dan pelindung rakyat.

Seri Paduka sebagai ketua negara dengan bantuan Ketua Setiausaha Negara (KSN) telah memanggil menghadap kesemua 222 ahli Dewan Rakyat untuk menemu duga setiap daripada mereka secara peribadi.Pengganti

Langkah itu bukan sahaja memberikan keadilan kepada semua pihak khususnya parti-parti politik malahan sebagai bukti bahawa Seri Paduka meletakkan kepentingan proses Perlembagaan Persekutuan dalam membantu Seri Paduka membina ‘hemat’ sendiri agar ia tidak disangkal oleh mana-mana pihak kelak.

Dan apabila Muhyiddin diumumkan telah mendapat ‘sokongan majoriti’ ahli Dewan Rakyat dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kelapan di hadapan Seri Paduka, proses itu telah lengkap dan giliran Perdana Menteri pula untuk menasihatkan Seri Paduka untuk pembentukan Jemaah Menteri.

Segala kewajaran proses (due process) mengikut Perlembagaan Persekutuan dan ramai pengamal undang-undang seperti Ketua Hakim Negara sendiri menasihati Seri Paduka dalam menguruskan hal ini.

Ia menjadi lebih berhati-hati dan teliti apabila Seri Paduka turut mendapatkan nasihat dan pandangan Raja-Raja Melayu mengenai perkara itu.

Maka, kerajaan pimpinan Muhyiddin adalah kerajaan yang sah dan bukan pintu belakang seperti yang diuar-uarkan.

Kerajaan ini juga jauh sekali daripada seperti apa yang akhbar biadap The Guardian United Kingdom gambarkan sebagai kerajaan hasil rampasan kuasa oleh Seri Paduka (Royal Coup).

Malahan Sultan Selangor dalam titah baginda pada Istiadat Pembukaan Dewan Selangor baru-baru ini menegaskan bahawa tohmahan kerajaan Muhyiddin sebagai kerajaan pintu belakang hendaklah segera dihentikan. Ayuhlah kita taat dan move on.