Aliran barangan, kargo Singapura-Malaysia tidak terjejas

Pengguna di Singapura mendapatkan barang keperluan mereka di sebuah pasar raya di Singapura semalam. Gambar kecil: Lee Hsien Loong. - FOTO: AGENSI
Pengguna di Singapura mendapatkan barang keperluan mereka di sebuah pasar raya di Singapura semalam. Gambar kecil: Lee Hsien Loong. - FOTO: AGENSI
A
A
A

SINGAPURA - Aliran barangan dan kargo antara Singapura dan Malaysia termasuk bekalan makanan akan diteruskan.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong hari ini menerusi akaun Facebook miliknya selepas berbincang tentang situasi tersebut bersama rakan sejawatannya dari Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya maklumkan kepada beliau bahawa saya memahami sebab-sebab beliau membuat langkah itu dan turut berharap Malaysia dapat membendung penularan wabak itu.

“Saya gembira mendengar jaminan yang diberikan beliau tentang tiada gangguan terhadap aliran barangan dan kargo antara Singapura dan Malaysia,” ujarnya lagi.

Menurut Hsien Loong, perintah kawalan pergerakan yang diumumkan Malaysia kelmarin bukan perkara mengejutkan kerana kebanyakan negara lain juga mengambil langkah sama.

Beliau turut menjelaskan rakyat Malaysia yang tinggal di Johor dan bekerja di Singapura perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Ia bagi mengelakkan mereka berulang-alik setiap hari. Kami sedang berusaha untuk membantu pekerja warga Malaysia untuk tinggal secara sementara di sini jika mereka mahu berbuat demikian,” katanya.

Jelas Hsien Loong lagi, beliau bersama Muhyiddin juga sepakat untuk melantik Menteri Kanan, Teo Chee Hean dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyelaraskan tindak balas bersama terhadap ancaman Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Ketika mengulas tentang isu pembelian panik yang melanda kebanyakan negara ketika ini, Hsien Loong turut menyatakan beliau gembira melihat orang ramai tidak lagi beratur panjang di pasar raya kerana kebanyakan mereka kini hanya membeli barang keperluan masing-masing.

“Kita tidak perlu bimbang kerana kita telah bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan dan mempunyai rancangan untuk menanganinya. Saya rasa berbesar hati kerana rakyat Singapura tenang dan bersatu ketika kami berusaha menyelesaikan masalah ini,” tambahnya.

Sementara itu, Menteri Luar, Vivian Balakrishnan memberitahu beliau telah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tentang langkah kawalan pergerakan tersebut.

“Kami memahami keperluan Malaysia untuk mengambil langkah luar biasa ini bagi membendung pandemik Covid-19. Kami bersetuju untuk membincangkan tentang butiran operasi bersama bagi membolehkan bekalan barangan, makanan dan kargo terus berjalan seperti biasa,” katanya menerusi Facebook. - Agensi