Selangor kecewa tidak terlibat Mesyuarat Khas Covid-19: Amirudin

Amirudin memuat naik status di Twitter peribadinya hari ini
Amirudin memuat naik status di Twitter peribadinya hari ini
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meluahkan rasa kecewa kerana negeri itu tidak terlibat dalam Mesyuarat Khas bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Antara Negeri, hari ini.

Amirudin berkata, Selangor yang merupakan negeri terkesan besar dengan wabak Covid-19 dukacita kerana tidak dilibatkan dalam urusan penting melibatkan nyawa manusia.

"(Ini) jelas bertentangan dengan sikap terbuka negeri untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan Pusat," katanya menerusi Twitter rasminya hari ini.

Ciapan Amirudin itu turut mendapat maklum balas daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ciap Mukhriz, mesyuarat khas itu juga tidak membabitkan kerajaan negeri Kedah.

"Kedah pun tak diajak. Agaknya tak ada Covid-19 di Kedah," katanya.

Terdahulu Muhyiddin dalam statusnya di media sosial media memberitahu beliau hadir mempengerusikan Mesyuarat Khas bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri bagi menyelaraskan Perintah Kawalan Pergerakan antara Negeri.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai tengah malam ini hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.