X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan disaran dedah senarai lokaliti terlibat wabak

Boon Chye pada sidang media di Ipoh.
A
A

IPOH - Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye mencadangkan kerajaan mendedahkan secara terperinci senarai lokaliti yang dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19) kepada umum.

Beliau berkata, pendedahan itu perlu ketika ini bagi meningkatkan kawalan penularan dalam kalangan komuniti setempat.

Dengan peningkatan kes secara mendadak, katanya, langkah pencegahan yang berkesan tidak boleh hanya dilakukan petugas kesihatan sahaja, tetapi kerjasama semua peringkat masyarakat.

"Pada peringkat awal jangkitan dulu, kita cuma ada tidak sampai 30 kes dan maklumat tidak didedahkan dengan alasan melindungi identiti pesakit, tetapi sekarang sudah melepasi 500 kes.

"Dalam keadaan ini, identiti pesakit bagi kes-kes ini bukanlah lagi satu kepentingan jika dibandingkan dengan keselamatan komuniti di lokaliti terlibat.

"Dengan mengumumkan tempat di mana penularan berlaku, komuniti di situ boleh mengambil langkah proaktif untuk melindungi diri daripada jangkitan dan menjalankan kawalan lebih berkesan dengan memantau pergerakan keluar masuk ke kawasan serta bantu beri nasihat mereka yang terlibat," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Gopeng di sini.

Mengulas mengenai Perintah Kawalan Pergerakan, Ahli Parlimen Gopeng itu berkata, langkah itu menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.

Bagaimanapun katanya, sekatan sama perlu dikenakan terhadap pergerakan penduduk khususnya dalam kawasan taman dan komuniti yang terlibat dalam jangkitan wabak itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus