Kerajaan Terengganu minta rakyat akur

Dr Ahmad Samsuri
Dr Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menerima pakai Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac ini seperti mana yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan meminta semua pihak akur dengan peraturan berkenaan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, susulan itu semua aktiviti-aktiviti keagamaan di Terengganu juga mesti menepati keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu Kali Ketiga Penggal Ketiga Belas yang bersidang semalam.

Menurutnya, ketetapan itu dibuat setelah mendapat titah perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan mendapat pandangan daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu.

"Ketua Setiausaha Negara juga membenarkan semua penjawat awam untuk meneruskan tugas dan kekal berada di rumah.

"Bagaimanapun, bagi perkara yang melibatkan perkhidmatan penting negeri (essential services), ketua jabatan boleh mengarahkan pegawai terlibat menyelesaikan proses-proses mengikut keperluan semasa," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ahmad Samsuri turut menyeru kepada semua rakyat Terengganu untuk memanfaatkan tempoh ini dengan mengambil kesempatan untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga di rumah.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya keluar apabila ada keperluan sahaja dan tidak perlu keluar secara beramai-ramai.

Sementara itu, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui talian 09-6229775 atau 09-6353752 pada jam 8 pagi hingga 5 petang (hari bekerja) dan 9 pagi hingga 3.30 petang (hari minggu dan cuti umum).

Artikel Berkaitan: