Mahu semua rakyat dapat akses internet

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo ditemu bual oleh juruhebah Radio Sarawak FM selepas menghadiri taklimat bersama enam jabatan serta agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Bangunan Radio Televisyen Malaysia hari ini. - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo ditemu bual oleh juruhebah Radio Sarawak FM selepas menghadiri taklimat bersama enam jabatan serta agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Bangunan Radio Televisyen Malaysia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo mahu memastikan perkhidmatan internet bertaraf antarabangsa dinikmati oleh seluruh masyarakat khususnya di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, walaupun terdapat cabaran seperti kedudukan geografi di Sabah dan Sarawak yang bergunung-ganang dan kawasan yang terpencil, perkara itu perlu diatasi.

“Kerajaan perlu lihat bagaimana cara kita boleh pastikan semua rakyat Malaysia mendapat akses kepada internet.

“Kementerian mahu tekankan kepada internet, yang mempunyai kualiti internet berkelas dunia, iaitu dengan kelajuan minimum 10 Mbps dan 40 Mbps dan dalam persekitaran yang baik,” katanya ketika ditemu bual bersama stesen radio Sarawakfm di RTM Kuching, hari ini.

Beliau juga menekankan mengenai kos penggunaan internet di mana pihaknya mahukan kadar yang tidak terlalu tinggi dikenakan kepada pengguna.

“Jika kos penggunaan internet terlalu tinggi, ia akan mengakibatkan sebahagian rakyat tidak mampu untuk mengguna perkhidmatan internet,” katanya.

Sementara itu, menurut beliau, setelah mempunyai kemudahan internet dan infrastruktur yang mencukupi, kerajaan seharusnya mempunyai program-program yang mendidik rakyat supaya menggunakan teknologi berkenaan untuk meningkatkan taraf kehidupan.

“Satu perkara yang saya lihat ialah kita boleh bawa kemudahan internet ini ke kawasan luar bandar. Banyak peniaga kecil yang boleh mengguna internet untuk pasaran yang lebih luas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau berkata akses internet tidak terhad kepada perniagaan, malah bidang perbankan, pendidikan dan perubatan juga mendapat manfaat yang sama.

“Misalnya perbankan, ramai yang pergi ke bank untuk memeriksa baki akaun. Tetapi jika gunakan kemudahan internet itu, kita tidak perlu lagi ke bank sebaliknya hanya menerusi perbankan secara internet,” katanya. - Bernama