X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Kes berprofil tinggi ditangguh

A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes berprofil tinggi termasuk kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan susulan keputusan kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19), semalam.

Perbicaraan kes Najib melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan bersambung pada 19 Mac serta perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang ditetapkan bersambung pada 23 Mac ditangguhkan sehingga tarikh baharu yang akan ditetapkan kemudian.

Kes berprofil tinggi lain yang telah dijadualkan bersambung minggu hadapan tetapi turut ditangguhkan adalah perbicaraan dua kes rasuah bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib yang mengendalikan perbicaraan kes 1MDB juga mengesahkan perbicaraan itu tidak akan berjalan pada Khamis.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes Ahmad Zahid dan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim yang mengendalikan kes Tengku Adnan turut mengesahkan perkara sama.

“Mahkamah akan memberikan tarikh pengurusan kes baharu selepas ia dibuka semula,” kata Julia ketika dihubungi Bernama.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Malaysia akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.

Sementara itu, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dalam satu kenyataan berkata, mahkamah di seluruh negara akan ditutup bermula esok hingga 31 Mac selaras dengan keputusan kerajaan itu.

Beliau berkata, perbicaraan dan pendengaran kes sivil serta jenayah juga ditangguhkan dan tarikh baharu akan dimaklumkan kemudian.

Ahmad Terrirudin berkata, bagaimanapun jika terdapat keperluan untuk pendaftaran kes baharu, pegawai penyiasat hendaklah memaklumkan lebih awal kepada Hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret yang bertugas bagi tujuan persediaan oleh mahkamah.

Katanya, bagi kesalahan yang boleh dijamin, Pengarah Mahkamah Negeri hendaklah memastikan urusan jamin dapat diproses seperti biasa.

“Permohonan untuk tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, Seksyen 259 Kanun Tatacara Jenayah dan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 akan dijalankan seperti biasa mengikut jadual bertugas yang telah ditetapkan,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus