X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada solat Jumaat, jemaah di Kelantan

Kerja-kerja pembersihan dan proses sanitasi yang dijalankan di Masjid Landak, Pengkalan Chepa Kota Bharu.
A
A

KOTA BHARU - Tidak ada solat Jumaat dan solat fardu secara berjemaah diadakan di masjid serta surau di seluruh Kelantan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula esok sehingga 31 Mac ini bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Zulkifle Ab Rahman berkata, perkara itu mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mengikut peruntukan Perkara 6(1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Menurutnya, dalam tempoh berkenaan semua masjid dan surau di negeri itu disarankan melaksanakan operasi pembersihan dan penyah kuman sebagai langkah membendung Covid-19.

“Semua aktiviti masjid dan surau hendaklah dihentikan sementara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sebagai kawalan penularan wabak berkenaan.

“Perlanjutan atau penamatan tempoh 14 hari berkenaan adalah tertakluk sepenuhnya kepada arahan MAIK berdasarkan nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun laungan azan dan pelaksanaan solat fardu di masjid dan surau dibenarkan dilakukan oleh pegawai masjid sahaja iaitu imam tua, imam muda, bilal serta siak yang melepasi saringan pemeriksaan kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah.

“Dalam tempoh ini juga semua perhimpunan untuk tujuan aktiviti agama seperti kuliah dan ceramah di masjid serta surau hendaklah ditangguhkan,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifle berkata, sekiranya berlaku kematian akibat Covid-19, jenazah orang Islam itu hendaklah mengikut hukum pengurusan jenazah disyaki atau disahkan dijangkiti virus iaitu pengecualian dan kelonggaran.

“Sekiranya terdapat keadaan yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada nyawa petugas yang menguruskan jenazah itu dibolehkan jenazah melalui prosedur tayammum.

“Tayammum paling ringan kesan bahayanya seperti melakukan tayammum hanya di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalut jenazah itu sahaja,” katanya.

Tambahnya, semua pihak yang terbabit dengan pengurusan masjid dan surau dan ahli jawatankuasa di Kelantan hendaklah mematuhi arahan ini.

“Marilah kita bersatu hati merafakkan doa semoga wabak Covid-19 segera berakhir dan negeri kita beroleh perlindungan ALLAH,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!