Anwar gesa rakyat bertenang, henti pembelian panik

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat bertenang dan menghentikan senario pembelian panik susulan arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan selama dua minggu bermula esok.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, arahan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi susulan ancaman penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang kini mencapai tahap pandemik perlu diberi perhatian serius semua pihak.

Bagaimanapun, beliau berpandangan tindakan pembelian panik oleh rakyat wajar dielakkan kerana tidak menguntungkan sesiapa.

"Saya menggesa rakyat untuk bertenang dan hentikan pembelian panik kerana ia tidak menguntungkan sesiapa,"katanya dalam satu ciapan melalui laman Twitter peribadi hari ini.

Anwar turut menasihatkan semua pihak termasuk para pelajar untuk tidak pulang ke kampung halaman kerana kadar peratusan penularan virus Covid-19 amat tinggi ketika ini.

Hari ini, Sinar Harian melaporkan peningkatan kes positif jangkitan Covid-19 melebihi 80 peratus sehari mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap kemungkinan arahan perintah berkurung akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat.

Penyebaran berita palsu di media sosial mengenai perintah berkurung turut memburukkan keadaan sehingga menyebabkan sebahagian masyarakat bertindak membeli barangan keperluan asas dengan jumlah melebihi daripada kebiasaan.

Selain itu, beberapa pakar kesihatan termasuk Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib turut menasihatkan orang ramai yang berada di Lembah Klang dan ibu kota untuk tidak balik ke kampung masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengelakkan penyebaran Covid-19 ke kawasan luar bandar.

Artikel Berkaitan: